SEOUL, 30 Ogos. - Presiden Lee Jae Myung mencalonkan Timbalan Menteri Kewangan Lee Hyoung-il sebagai menteri kewangan baharu serta lima lagi individu sebagai menteri baharu dalam rombakan Kabinet, lapor Agensi Berita Yonhap memetik seorang pegawai pejabat presiden pada Ahad.
Ketua Setiausaha Presiden Kang Hoon-sik mengumumkan rombakan itu dalam sidang media, yang turut menyaksikan pencalonan bekas Timbalan Komander Angkatan Gabungan Korea Selatan-Amerika Syarikat, Kang Shin-chul sebagai menteri pertahanan baharu.
Timbalan Menteri Tanah Hong Jee-sun dicalonkan sebagai menteri tanah baharu; Ahli Parlimen Kim Seung-won daripada Parti Demokratik (DP) yang memerintah sebagai menteri kehakiman; Ahli Parlimen Yong Hye-in, ketua fraksi Parti Pendapatan Asas, sebagai menteri kesaksamaan jantina; dan Ahli Parlimen DP Lee So-young sebagai menteri perusahaan kecil dan sederhana.
Sementara itu, pegawai kanan Kementerian Alam Sekitar Lee Won-ju dicalonkan sebagai pembantu presiden bagi inisiatif “projek mega”, satu jawatan baharu yang akan diwujudkan, kata Kang.
Di bawah inisiatif pelaburan yang diumumkan pada akhir Jun itu, kerajaan akan bekerjasama dengan konglomerat teknologi bagi menggalakkan pelaburan berskala besar dalam pengeluaran semikonduktor dan kemudahan berkaitan Kecerdasan Buatan (AI), dengan tumpuan kepada kawasan serantau.
Pencalonan itu merupakan rombakan besar Kabinet yang pertama sejak Lee memegang jawatan presiden pada Jun tahun lepas dan dibuat ketika kadar sokongan terhadapnya baru-baru ini jatuh ke paras terendah, susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap lonjakan harga perumahan dan ketidaktentuan pasaran saham.
Kang menyifatkan rombakan itu sebagai pemilihan barisan pemimpin baharu yang mempunyai “dinamik dan kepakaran” untuk membawa perubahan ketara kepada rakyat serta memacu negara ke arah lonjakan besar. - ©BERNAMA