Perkhidmatan e-mel Microsoft beransur pulih selepas gangguan global

1 Sep 2026 - 10:56am

ISTANBUL, 1 Sept. - Perkhidmatan e-mel Microsoft beransur pulih pada Selasa selepas masalah teknikal menjejaskan akses kepada Exchange Online dan beberapa perkhidmatan Microsoft 365 lain di seluruh dunia, lapor Anadolu Ajansi.

Syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS) itu memaklumkan sambungan peti mel telah kembali ke tahap perkhidmatan yang dijangka susulan pelaksanaan langkah pemulihan, namun usaha memulihkan sepenuhnya fungsi carian masih diteruskan.

Pengguna mula melaporkan masalah pada Isnin membabitkan proses log masuk, menghantar dan menerima e-mel, mencari kandungan peti mel serta menjalankan operasi lain berkaitan e-mel.

Microsoft pada awalnya berkata pihaknya mengenal pasti corak kegagalan yang sama membabitkan pengesahan dan sambungan protokol dalam Exchange Online, iaitu perkhidmatan e-mel dan kalendar berasaskan awan.

Syarikat itu kemudian mengesan punca gangguan kepada masalah konfigurasi teras pengesahan yang digunakan beberapa perkhidmatan dalaman dalam infrastruktur Exchange Online.

Jurutera Microsoft menjalankan ujian secara manual pada pelayan individu sebelum memperluas langkah pemulihan ke seluruh infrastruktur yang terjejas.

"Perkhidmatan terus menunjukkan pemulihan secara beransur-ansur susulan pelaksanaan langkah pemulihan," menurut syarikat itu dalam kemas kini.

Microsoft memberi amaran bahawa pengguna mungkin terus mengalami tahap gangguan yang berbeza-beza serta kelewatan e-mel sepanjang usaha pemulihan diteruskan.

Syarikat itu turut berkata masalah pengesahan berkenaan menjejaskan perkhidmatan lain selain Exchange Online.

Laporan menunjukkan OneDrive for Business, SharePoint Online, Teams, Microsoft Purview dan Microsoft Defender XDR antara perkhidmatan yang mengalami gangguan.

Platform pemantauan gangguan Downdetector merekodkan ribuan laporan pengguna ketika gangguan berada pada tahap kemuncak, namun angka itu berdasarkan laporan yang dikemukakan pengguna dan tidak menggambarkan jumlah keseluruhan individu yang terjejas. - ©BERNAMA