ISTANBUL, 2 Sept. - Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran mendakwa pada Rabu bahawa tentera Amerika Syarikat (AS) terbunuh dan dron musnah dalam serangan peluru berpandu serta dron ke atas Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut IRGC dalam kenyataan, Pasukan Daratnya melancarkan serangan gabungan peluru berpandu dan dron ke atas ibu pejabat serta tempat penginapan komander AS di pangkalan tersebut, sambil mendakwa bahawa "sejumlah" anggota tentera AS terbunuh.
Ia juga mendakwa bahawa serangan itu menyebabkan kebakaran pada hangar dan landasan pelancaran dron, serta memusnahkan beberapa dron yang didakwa terlibat dalam serangan terhadap Iran.
IRGC menyatakan serangan itu dilancarkan serentak dengan serangan ke atas pangkalan AS di Jordan, Bahrain dan Erbil.
Serangan itu menurut IRGC ialah tindakan balas terhadap serangan AS ke atas sebuah kediaman di Sirik, selatan Iran, sehari sebelumnya yang menjejaskan hampir 70 orang dan mengorbankan empat nyawa termasuk seorang kanak-kanak.
Dalam mesej yang ditujukan kepada rakyat Kuwait, IRGC berkata serangan itu disasarkan kepada kehadiran tentera AS di Kuwait dan bukannya terhadap rakyat Kuwait, serta menggesa supaya tentera AS dikeluarkan dari negara itu.
Komando Pusat (CENTCOM) AS mengumumkan lewat Selasa bahawa ia telah melancarkan serangan terhadap sasaran IRGC di Iran.
Susulan pengumuman itu, media Iran melaporkan kejadian letupan di Pulau Qeshm serta di Bandar Abbas, Sirik, Chabahar dan Konarak. - ©BERNAMA