KYRENIA (Cyprus), 31 Ogos. - Pihak berkuasa akan menyiasat dakwaan yang dibangkitkan penumpang selepas sebuah feri karam di luar pesisir Cyprus hingga mengorbankan sekurang-kurangnya lapan orang, lapor media kerajaan Turkiye pada Isnin, menurut agensi berita Jerman dpa.
Seramai 267 orang berada di atas feri itu, terdiri daripada 259 penumpang dan lapan anak kapal. Kebanyakan mereka berjaya diselamatkan.
Menteri Pengangkutan Cyprus Turkiye Erhan Arikli memberitahu agensi berita Anadolu bahawa dakwaan penumpang berhubung kejadian itu akan diteliti.
Sebahagian penumpang mendakwa pintu dikunci dan kapten melarikan diri.
Arikli berkata kementeriannya akan menjalankan siasatan berasingan daripada siasatan polis.
Hasil siasatan berkaitan lesen operasi feri, kelayakan belayar serta langkah keselamatan di atas kapal akan diumumkan.
Pihak berkuasa berkata feri itu karam pada Ahad sejurus berlepas dari bandar pelabuhan Kyrenia, yang dikenali sebagai Girne dalam bahasa Turkiye.
Feri berkenaan dalam perjalanan ke wilayah Mersin di selatan Republik Turkiye ketika keadaan laut bergelora.
Atas sebab yang masih belum diketahui, air memasuki feri itu hingga menyebabkan katamaran berkenaan dinaiki air dan senget ke satu sisi.
Kapal itu kemudian tenggelam ke dasar laut pada kedalaman kira-kira 500 meter.
Kapten dan tujuh anak kapal telah ditahan, menurut laporan media pada lewat Ahad. - ©BERNAMA