Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei
SABAH, Selasa, 18 Ogos. - Seramai lima murid dari Sekolah Tunas Jaya Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB), dua guru pengiring, dua Ahli Jawatankuasa Tertinggi (JKTT) PGGMB dan seorang wakil dari Jabatan Sekolah-Sekolah (JSS) bertolak ke Sabah bagi mengikuti Kem Perpaduan dan Integrasi Madani Kemping Madani 4.0 Peringkat Antarabangsa 2026, hari ini.
Antara tujuan Kemping Madani 4.0 ini adalah memberikan peluang kepada para pelajar untuk menyertai aktiviti yang dapat memupuk semangat perpaduan, integrasi, kerjasama, kepimpinan dan persahabatan antara peserta dari pelbagai negara.
Rombongan diketuai oleh Yang Dipertua PGGMB, Awang Haji Mustapa bin Haji Masri. Menghadiri Kemping Madani 4.0 ini ialah Timbalan Setiausaha Agung (LN), Haji Yahya bin Haji Mirasan dan wakil dari JSS, Dayang Hajah Malhafidah binti Haji Malik.
Kemping Madani 4.0 ini bermula pada 18 hingga 20 Ogos 2026 bertempat di Tapak Pesta Nelayan. Pantai Mempakul, Menumbuk, Sabah anjuran Sekolah Kebangsaan Pekan Menumbok dan Pengelola Sekolah Kebangsaan Pekan Menumbok, Kuala Penyu dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Penyu dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
“Alhamdulillah PGGMB merasa bersyukur kerana telah dipilih oleh Kementerian Pendidikan untuk mewakili Negara Brunei Darussalam bagi Kemping Madani 4.0 Peringkat Antarabangsa ini. PGGMB akan sentiasa memberikan kerjasama, komitmen, dedikasi dan membawa imej Negara Brunei Darussalam yang positif di acara ini,” jelas Yang Dipertua PGGMB.