Pertandingan ketengahkan bakat seni suara warga emas

12 Og 2026 - 6:54am

Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi 

 

KAMPUNG LAMBAK KANAN, Selasa, 11 Ogos. - Alunan lagu-lagu nostalgia era 60-an kembali mengimbau kenangan manis zaman silam apabila Pusat Kegiatan Warga Emas menganjurkan Pertandingan Karaoke Lagu-Lagu 60-an sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026, hari ini.

Pertandingan yang berlangsung di Dewan Legar Pusat Kegiatan Warga Emas, Kampung Lambak Kanan, di sini, bukan sahaja mengetengahkan bakat seni suara dalam kalangan warga emas, malah menjadi wadah bagi mengeratkan silaturahim serta menyemarakkan suasana sambutan yang dianjurkan bagi kali ketiga tahun ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Kampung Kawasan 2, Rancangan Perumahan Negara, Kampung Lambak Kanan, Awang Haji Omar bin Haji Safar.

Pertandingan kali ini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan keseluruhan seramai 46 peserta, terdiri daripada 15 peserta Kategori Lelaki, 15 peserta Kategori Perempuan dan 16 pasangan bagi Kategori Duet atau Berpasangan.

Dalam Kategori Lelaki, Awang Haji Lamit bin Burut muncul juara dengan memperoleh markah sebanyak 76 peratus, diikuti Awang Haji Aliakbar bin Ali di tempat kedua dengan 74.6 peratus, manakala Awang Haji Abdullah bin Haji Ibrahim menduduki tempat ketiga dengan 74.3 peratus.

Kategori Perempuan pula menyaksikan Dayang Saliah binti Haji Ibrahim dinobatkan sebagai juara setelah meraih 77 peratus, diikuti Dayang Sarah binti Haji Md. Salleh dengan 76 peratus di tempat kedua dan Dayang Hajah Samsiah Haji Abd. Hamid di tempat ketiga dengan 73.3 peratus.

Sementara itu, Kategori Duet atau Berpasangan berlangsung sengit apabila dua pasangan teratas mencatatkan markah yang sama, iaitu 83.3 peratus.

Pasangan Pengiran Haji Aminoor bin Pengiran Haji Salimin dan Dayang Hajah Samsiah binti Haji Abd. Hamid dinobatkan sebagai juara, manakala Awang Haji Lamit @Hamid bin Burut dan Dayang Aisyah binti Lazim meraih naib juara. Tempat ketiga pula disandang oleh Awang Haji Abdullah bin Haji Ibrahim dan Dayang Hajah Mahani binti Haji Abu Bakar dengan markah 79.3 peratus.

Walaupun kedua-dua pasangan teratas memperoleh markah yang sama, keputusan akhir ditentukan oleh pihak hakim berdasarkan penilaian terhadap aspek suara dan persembahan pasangan, sekali gus menyaksikan pasangan Pengiran Haji Aminoor dan Dayang Hajah Samsiah dinobatkan sebagai juara kategori berkenaan.

Bukan itu saja, pasangan tersebut turut dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Pertandingan Karaoke Lagu-Lagu 60-an pada tahun ini.

Pertandingan berkenaan jelas memperlihatkan bahawa usia bukan penghalang untuk terus berkarya, berkreativiti dan menceriakan kehidupan, malah menjadi platform bagi warga emas untuk terus aktif dalam kegiatan kemasyarakatan sambil mengimbau nostalgia melalui lagu-lagu terkenal era 60-an.