Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji SulaimanFoto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BERAKAS, Khamis, 12 November. - Falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai tonggak identiti, perpaduan dan kedaulatan Negara Brunei Darussalam (NBD) terus menjadi landasan penting dalam memastikan kesinambungan warisan serta kestabilan negara demi generasi akan datang.
Perkara tersebut antara inti pati yang diketengahkan dalam Forum Perdana Majlis Ilmu 2026 sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.
Berkenan berangkat ke majlis berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Berangkat sama ialah paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Menteri di JPM.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh Penasihat-penasihat Bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2026 iaitu Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Turut menjunjung keberangkatan tiba, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2026 iaitu Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad; Pengerusi-pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Forum Perdana Majlis Ilmu iaitu Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu; Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar, diikuti dengan sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang), selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Forum Perdana Majlis Ilmu 2026.
Forum Perdana ini mengupas secara mendalam tema Majlis Ilmu Tahun 2026, iaitu ‘Melayu Islam Beraja : Tonggak Kedaulatan Negara’, dengan menghayati sejarah, asas dan kepentingan falsafah MIB sebagai tonggak identiti serta kedaulatan NBD.
Falsafah MIB telah diisytiharkan secara rasmi sebagai falsafah negara semasa pengisytiharan kemerdekaan NBD pada 1 Januari 1984. Walau bagaimanapun, asas sejarahnya telah berakar umbi sejak lebih 650 tahun yang lalu, bermula dengan pemerintahan Awang Alak Betatar, Sultan Brunei yang pertama, dari tahun 1363 hingga 1402.
Setelah memeluk agama Islam, baginda menggunakan gelaran Sultan Muhammad Shah, yang menandakan permulaan perkembangan Kesultanan Brunei berteraskan Melayu, Islam dan Beraja.
Forum menampilkan tiga ahli panel yang terdiri dari Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin; Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Dr. Awang Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong dan Pensyarah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Awang Haji Mohd. Shahrol Azmi bin Haji Abd. Muluk.
Sesi forum dikendalikan oleh Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd. Rahman selaku moderator.
Antara perkara utama yang dibahaskan ialah peranan MIB sebagai asas kekuatan dan kedaulatan negara.
Selain itu, ketahanan Kesultanan Brunei, penghayatan identiti Melayu, peranan aktif golongan belia serta sistem pendidikan yang berteraskan nilai MIB merupakan faktor penting dalam mengekalkan perpaduan, keamanan dan jati diri negara.
Oleh itu, semua lapisan masyarakat perlu menghayati dan mengamalkan falsafah MIB agar warisan, kestabilan dan kedaulatan Negara Brunei Darussalam terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Majlis turut diserikan dengan sesi penandatanganan Lembaran Kenangan oleh Duli Yang Teramat Mulia sebagai simbol kenangan dan penghargaan terhadap penganjuran Forum Perdana sempena Majlis Ilmu Tahun 2026.
Forum Perdana Majlis Ilmu 2026 diungkayahkan bersama oleh JPM, Kementerian Kewangan, dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan di bawah Jawatankuasa Kerja Forum Perdana Majlis Ilmu 2026.
Bagi mendapatkan maklumat mengenai acara-acara dan aktiviti-aktiviti yang akan diadakan sempena Majlis Ilmu 2026, orang ramai boleh mengikuti laman sesawang 'www.majlisilmu.gov.bn'.