Oleh : Hajah Rosidah Haji Ismail
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi melihat pengangkutan awam bukan semata-mata sebagai satu perkhidmatan komersial, tetapi sebagai satu kemudahan awam yang penting dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat, menyokong aktiviti ekonomi dan menghubungkan kawasan-kawasan di negara ini.
Menurut Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Kali Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, matlamat kementerian bukan hanya untuk menambah bilangan bas atau laluan, tetapi untuk membangunkan satu sistem pengangkutan awam yang lebih efisien, mudah diakses, bersepadu dan berdaya tahan, bersesuaian dengan keperluan penduduk.
Dalam perkara ini, kementerian sedang giat meneliti pendekatan yang bersesuaian dalam memastikan agar perkhidmatan pengangkutan awam dapat terus disediakan secara berkesinambungan, berkualiti dan mudah diakses oleh orang ramai.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi ketika menjawab soalan secara serentak kerana ketiga-tiga soalan yang dikemukakan oleh Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman dan Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann, Ketua Kampung Bukit Sawat adalah saling berkait.
“Kementerian melihat pendekatan perkhidmatan pengangkutan awam ini kepada dua model utama iaitu: - Yang pertama ialah perkhidmatan bas di laluan-laluan utama, khususnya di kawasan yang mempunyai permintaan penumpang yang tinggi, dengan laluan dan jadual yang tetap; dan yang kedua ialah Perkhidmatan bas berkonsepkan Transit Responsif Atas Permintaan (Demand Responsive Transit atau DRT). Melalui pendekatan ini, perkhidmatan bas adalah lebih fleksibel dan boleh disesuaikan mengikut permintaan orang ramai. Pendekatan ini khususnya bersesuaian bagi kawasan-kawasan yang kurang mendapat liputan ataupun yang tidak mempunyai permintaan penumpang yang mencukupi untuk laluan bas tetap,” ujar Yang Berhormat.
Dari segi pelaksanaan, menurut Yang Berhormat lagi, Kementerian telah melalui beberapa peringkat proses penilaian: - Pertama - Request for Information (RFI) bagi Core Bus Network Services dan Smart Transportation System yang telah dikeluarkan pada 6 Disember 2023 dan ditutup pada 1 Februari 2024, dan Kedua, Request for Proposal (RFP) bagi penyediaan, pengendalian, pengurusan dan penyelenggaraan perkhidmatan pengangkutan awam telah dikeluarkan pada 2 Oktober 2024 dan ditutup pada 11 Mac 2025.
Yang Berhormat berkata bahawa hasil daripada penilaian tersebut, insyaaAllah, sebuah syarikat telah dikenal pasti berpotensi untuk menawarkan perkhidmatan DRT. Sehubungan itu, Jabatan Pengangkutan Darat telah mengeluarkan ‘License to Operate’ kepada syarikat berkenaan pada 30 April 2026.
Sungguhpun demikian, setentunya perkara tersebut masih memerlukan pengemaskinian dan persediaan lanjut, khususnya dari segi kesiapsiagaan pihak pengendali, operasi dan infrastruktur yang diperlukan.
“Jadinya, berhubung dengan persoalan sama ada perkhidmatan ini akan mula beroperasi pada awal tahun 2027, Kementerian bercadang untuk memulakan perkhidmatan DRT ini secara berperingkat. Pada peringkat awal, perkhidmatan ini akan melibatkan dua zon terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke zon-zon yang lain,” ujar Yang Berhormat lagi.