Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Negara Brunei Darussalam (NBD) akan menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) XXII yang akan diadakan di Selangor, Malaysia bermula pada 15 hingga 24 Ogos 2026.
Sehubungan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen NBD Ke SUKMA XXII, Selangor 2026 telah diadakan bertempat di Dewan Di-Gadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.
Hadir menyempurnakan penyerahan bendera negara tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, selaku tetamu kehormat.
Majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah, disusuli dengan ucapan alu-aluan oleh Setiausaha Tetap, KKBS, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.
Beliau antara lain berkata, penyertaan NBD dalam kejohanan SUKMA pada tahun ini merupakan penyertaan ke-14 sejak mula menyertai kali pertama pada tahun 1996.
Menurutnya, SUKMA merupakan kejohanan penting yang menyediakan platform yang berharga bagi para atlet muda negara untuk mengembangkan bakat, menguji keupayaan serta meningkatkan tahap prestasi dan daya saing dengan aspirasi untuk meraih pingat dan mencatat kejayaan yang membanggakan untuk negara.
Pada masa yang sama, jelas beliau, penyertaan berkenaan turut memperkukuh hubungan erat dan kerjasama yang sekian lama terjalin antara NBD dan Malaysia.
"Berkaitan dengan persediaan para atlet, sesi pemilihan dan pembangunan atlet remaja telah dilaksanakan secara berterusan sejak penyertaan negara pada SUKMA Ke-21 pada tahun 2024.
"Atlet-atlet yang dikenal pasti kemudiannya mengikuti program latihan di bawah kendalian jurulatih Jabatan Belia dan Sukan secara berterusan.
"Sementara itu, latihan intensif telah mula dilaksanakan seawal bulan Januari tahun ini," katanya.
Majlis diteruskan dengan penyerahan bendera NBD yang disempurnakan oleh tetamu kehormat kepada Dayang Noorfairuzah Hani binti Haji Mohamad @ Haji Zaini selaku Chef de Mission Kontinjen NBD ke SUKMA XXII, Selangor 2026.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat.
Hadir sama ialah Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke NBD, Abdul Munir Lutfi bin Said; Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap di KKBS; Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan; pegawai-pegawai kanan KKBS; wakil-wakil Persatuan Sukan Kebangsaan serta ahli keluarga atlet.
SUKMA ialah temasya sukan peringkat kebangsaan di Malaysia anjuran Majlis Sukan Negara Malaysia bersama Majlis Sukan Negeri yang diadakan setiap dua tahun sekali.
Bagi temasya SUKMA Ke-22 Tahun 2026 ini, kontinjen NBD akan diwakili oleh seramai 84 orang, terdiri daripada 53 orang atlet yang akan bersaing dalam 11 acara sukan yang dipertandingkan iaitu Akuatik Renang, Badminton, Olahraga, Catur, Golf, Lawan Pedang, Karate, Pencak Silat, Sepak Takraw, Taekwondo dan Wushu.
Manakala barisan pegawai kontinjen seramai 31 orang, terdiri daripada Chef de Mission, Assistant Chef de Mission, pegawai urus setia, pegawai perubatan, pengurus dan jurulatih.