Pendekatan bersepadu tangani penipuan dalam talian

11 Og 2026 - 8:24am

Oleh : Hajah Rosidah Haji Ismail

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memandang serius isu ini. Penipuan dalam talian kini semakin kompleks, menggunakan pelbagai saluran seperti panggilan telefon, media sosial, laman sesawang palsu serta skim pelaburan yang tidak berlesen.

Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Kali Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, berkata bahawa dalam menangani cabaran ini, pendekatan kementerian bukan hanya tertumpu kepada penguatkuasaan selepas kejadian berlaku, tetapi turut kepada pembentukan satu ekosistem pencegahan dan perlindungan yang menyeluruh, melibatkan agensi kerajaan, institusi kewangan, pihak industri dan orang ramai.

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi menjelaskan demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Penghulu Mukim Lumapas mengenai langkah-langkah kerajaan dalam memperkukuh pencegahan, penguatkuasaan, kerjasama dengan institusi kewangan serta perlindungan mangsa daripada jenayah siber, khususnya penipuan dalam talian atau ‘online scam’.

“Kaola ingin mengetengahkan empat pendekatan utama iaitu: Pertama, Pencegahan dan Kesedaran Awam. - Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi (AITI) telah melancarkan platform Waspada.bn pada bulan Jun 2025 sebagai platform ‘fact-checking’ dan menangani maklumat palsu. Setakat 1 Julai 2026, akaun Instagram Waspada.bn telah menerbitkan 226 hantaran dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, meliputi kandungan berbentuk amaran, penjelasan dan maklumat palsu. Usaha ini akan terus diperkukuhkan melalui media sosial, siaran awam dan program jangkauan komuniti, khususnya dalam meningkatkan kesedaran mengenai taktik penipuan yang sentiasa berubah. Pada masa yang sama, kementerian akan turut memperluaskan pendidikan literasi digital dan keselamatan siber, termasuk di institusi pendidikan, supaya budaya berwaspada dapat dibina sejak awal,” ujar Yang Berhormat.

Kedua, tambah Yang Berhormat lagi, penguatkuasaan dan tindakan undang-undang melalui pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Nation, Anti Scam Centre (ASC), menjadi antara mekanisme utama dalam menyelaras usaha menangani penipuan dalam talian.

ASC melibatkan agensi-agensi utama termasuk Pasukan Polis Diraja Brunei, Cyber Security Brunei, AITI, Brunei Darussalam Central Bank serta agensi-agensi berkaitan yang lain. Talian bantuan ASC 16993, yang mula beroperasi pada bulan Ogos 2025 menyediakan saluran bagi orang ramai untuk mendapatkan bantuan dan panduan berkaitan kes penipuan dalam talian.  Keupayaan siber dan forensik digital bersama pihak yang berkenaan akan terus dipertingkatkan bagi mengesan, menyiasat dan mengambil tindakan terhadap sindiket penipuan.  Pada masa yang sama juga, mengambil kira jua bahawa jenayah ini tidak mengenal sempadan, kerjasama dengan agensi penguatkuasaan antarabangsa dan rakan-rakan ASEAN juga akan diperkukuhkan, khususnya dalam menangani jenayah siber rentas sempadan.

Ketiga, kerjasama dengan institusi kewangan. Dalam kes penipuan dalam talian, masa adalah amat kritikal. Lebih cepat sesuatu laporan diterima dan tindakan diambil, lebih tinggi peluang untuk menyekat pemindahan dana dan mendapatkan semula wang mangsa.

Dalam hubungan ini, jelas Yang Berhormat lagi, Portal Scamwatch yang kini sedang dibuat dan masa ini di peringkat akhir ujian ‘beta’, akan disasarkan untuk beroperasi pada suku kedua tahun 2027.  Portal ini akan menjadi salah satu platform utama pelaporan, yang membolehkan maklumat mengenai kes penipuan disalurkan dengan lebih cepat bagi menyokong tindakan menyekat pemindahan dana serta meningkatkan peluang pemulangan wang kepada mangsa. 

Tambah Yang Berhormat lagi, kerjasama dengan Brunei Darussalam Central Bank dan bank-bank tempatan juga akan terus diperkukuhkan, khususnya dalam mekanisme sekatan pantas terhadap akaun dan transaksi yang disyaki berkaitan dengan penipuan.  Di samping itu, aspek keselamatan transaksi akan terus diberi perhatian, termasuk penggunaan pengesahan transaksi, had transaksi serta amaran segera bagi transaksi yang luar biasa atau mencurigakan.

Keempat, perlindungan dan pemulihan mangsa. Kementerian faham bahawa kesan penipuan bukan sahaja melibatkan kerugian kewangan, tetapi dalam sesetengah keadaan turut memberi tekanan dan kesan emosi kepada mangsa.

Oleh itu, Talian Bantuan 16993 akan terus menjadi antara saluran awal bagi mangsa mendapatkan nasihat dan panduan. Portal Scamwatch pula akan memudahkan proses pelaporan dan membantu mempercepatkan tindakan susulan. 

Yang Berhormat juga menekankan bahawa usaha menangani ‘online scam’ tidak boleh bergantung kepada satu agensi atau satu mekanisme sahaja. Hala tuju kementerian ini adalah untuk bergerak daripada pendekatan yang bersifat reaktif kepada pendekatan yang lebih proaktif, bersepadu dan berasaskan pencegahan. Ini bermakna kita perlu meningkatkan kesedaran sebelum seseorang menjadi mangsa kerana di sebalik setiap kes penipuan, ada seseorang manusia yang terkesan; mungkin sahaja ibu bapa kita, anak-anak kita, saudara-mara kita, malah orang yang paling dekat dengan kita. Mereka bukan sekadar angka atau statistik; mereka mungkin kehilangan wang hasil titik peluh bertahun-tahun dan yang lebih menyedihkan, turut kehilangan rasa percaya dan ketenangan dalam kehidupan seharian.

“Oleh itu, kita perlu bertindak lebih awal dengan mempercepatkan pengesanan apabila penipuan berlaku, memperkukuh tindakan penguatkuasaan dan, pada masa yang sama, memastikan setiap mangsa tidak dibiarkan bersendirian, sebaliknya mendapat bantuan, sokongan serta peluang terbaik untuk mendapatkan semula wang mereka. Kejayaan kita bukan hanya diukur daripada jumlah kes yang berjaya disiasat atau tindakan yang diambil, tetapi juga daripada sejauh mana kita dapat mencegah orang ramai daripada menjadi mangsa dan mengurangkan kerugian akibat penipuan dalam talian,” ujar Yang Berhormat.

Justeru, kementerian insyaaAllah akan terus memperkukuh keempat-empat teras ini melalui kerjasama erat antara agensi kerajaan, institusi kewangan, pihak industri, rakan antarabangsa dan, yang paling penting, orang ramai, orang Brunei kita sendiri kerana dalam menangani jenayah siber, keselamatan digital adalah tanggungjawab bersama.