Oleh : Khartini Hamir
Foto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 30 Oktober. - Pusat Sejarah Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan hari ini menganjurkan Hari Terbuka Pusat Sejarah Brunei yang dibuka untuk kunjungan orang ramai selama tiga hari, bermula hari ini dari pukul 2.30 petang hingga 10.00 malam.
Seterusnya pada Sabtu, 31 Oktober bermula pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam; dan Ahad, 1 November dari pukul 7.30 pagi hingga 10.00 malam.
Program ini berlangsung di Pusat Sejarah Brunei, di ibu negara, dengan pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti Pertandingan Pickleball Nakhoda Awang, pameran, e-sukan, persembahan nyanyian serta jualan makanan dan minuman.
Hari Terbuka ini diadakan bersempena dengan Program Cabaran Larian Sejarah Brunei 2026 yang akan berlangsung pada 1 November 2026.
Dianjurkan setiap dua tahun sekali, program larian ini mula diperkenalkan pada tahun 2019 dengan konsep ‘knowledge’, ‘healthy lifestyle and fun’ dan telah menerima Anugerah ISESCO pada 17 Disember 2019 di Tunisia.
Seramai 441 peserta yang mewakili 147 pasukan bakal berentap bagi merebut gelaran juara Program Cabaran Larian Sejarah Brunei 2026 yang akan berlangsung pada Ahad ini.
Setiap pasukan terdiri daripada tiga orang peserta.
Sementara itu, Pertandingan Pickleball Nakhoda Awang bakal menyaksikan penyertaan 60 pasukan beregu, yang terdiri daripada 40 pasukan lelaki dan 20 pasukan wanita, dengan jumlah keseluruhan seramai 120 peserta.