Menggalakkan pelaburan, merangsang inovasi, membuka lebih banyak peluang ekonomi

11 Og 2026 - 9:25am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. – Dalam dunia perniagaan, keyakinan merupakan aset yang sangat bernilai kerana ia bukan dibina melalui satu pengumuman atau satu inisiatif sahaja tetapi apabila sesuatu dasar dilaksanakan secara konsisten, kemudahan terus dipertingkatkan, perusahaan melihat peluang untuk berkembang dan rakyat yakin bahawa masa depan mereka mempunyai prospek yang baik.

Perkara itu dinyatakan dalam Perbahasan Usul, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Lau How Teck pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Jelas Yang Berhormat, keyakinan ini juga akan terus menggalakkan pelaburan, merangsang inovasi dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada negara.

Yang Berhormat berharap segala perbincangan, cadangan dan penjelasan yang telah dikongsikan sepanjang persidangan ini akan terus menjadi panduan dalam memperkukuhkan pembangunan negara.

"Mudah-mudahan segala usaha yang memperkukuhkan perusahaan tempatan melahirkan lebih ramai tenaga mahir dan usahawan serta memastikan Brunei terus mampu bersaing dalam persekitaran ekonomi dan sentiasa berubah".

Yang Berhormat ingin menzahirkan penghargaan kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Jurutulis dan pasukan sekretariat serta kementerian-kementerian dan semua pihak yang telah memberikan kerjasama dalam memastikan perjalanan persidangan ini berjalan dengan lancar.

Yang Berhormat juga merafakkan sembah menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas segala kebijaksanaan dan kepimpinan baginda dalam memacu pembangunan serta kemajuan negara yang dicintai.