Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BELAIT, Selasa, 11 Ogos. - Dikir Brunei merupakan salah satu khazanah berharga yang diwarisi oleh Masyarakat Melayu Brunei dan merupakan salah satu bentuk kebudayaan berteraskan keagamaan yang telah diamalkan dalam kehidupan masyarakat tempatan sejak zaman-berzaman.
Dikir Brunei mengandungi selawat dan salam serta kisah kehidupan dan keperibadian agung junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang telah dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dengan pelbagai keistimewaan.
Sesungguhnya, sesiapa yang membaca selawat dan salam serta menghayati kisah-kisah agung Baginda akan memperoleh pahala, keberkatan dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wata’ala serta mengharapkan syafaat daripada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Sehubungan itu, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Pandan, Daerah Belait mengadakan Pertandingan Dikir Brunei bagi Pegawai Masjid, Ahli Jawatankuasa Takmir, Jemaah dan Muslimah Masjid Berumur 45 Tahun Ke Atas Senegara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di masjid berkenaan, petang tadi.
Sebanyak 26 kumpulan telah menyertai pertandingan tersebut, yang terdiri daripada 10 kumpulan lelaki dan 16 kumpulan perempuan.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Muhammad Faiq bin Haji Rani.
Masjid RPN Kampung Pandan muncul juara bagi Kumpulan Lelaki dengan markah sebanyak 92.50 peratus, sementara Kumpulan Perempuan disandang oleh Masjid RPN Kampung Pandan ‘B’ dengan markah 92.25 peratus.
Pertandingan ini diadakan bagi menyahut seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir, di samping meraih keberkatan dan syafaat junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam melalui bacaan selawat yang terkandung dalam Dikir Brunei.
Pertandingan ini juga diharap dapat menghidupkan dan meneruskan tradisi bacaan Dikir Brunei dalam kalangan masyarakat tempatan, khususnya generasi masa kini, agar khazanah budaya berteraskan keagamaan ini terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Selain itu, pertandingan ini bertujuan untuk menggalakkan para peserta agar terus mempelajari dan menguasai lagu-lagu Dikir Brunei, sekali gus meningkatkan mutu persembahan dari segi kefasihan, lagu dan suara.
Pertandingan ini juga diharap dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan para peserta serta memupuk semangat kerjasama dan ukhuwah sesama jemaah masjid.