Mendukung pembangunan negara yang mampan, berdaya tahan

11 Og 2026 - 8:00am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Azmah Haji Ahad

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku Jawatankuasa Khas Penyelarasan Kebangsaan (JKPK) Matlamat Pembangunan Yang Berdaya Tahan (Sustainable Development Goals - SDGs) bagi Negara Brunei Darussalam, melalui Pejabat Wawasan Brunei sebagai Sekretariat Jawatankuasa, pagi tadi mengadakan Majlis Pembukaan Forum SDGs Brunei: SDGs Beyond Limits dan Dialog Belia SDGs Kali Ke-3 bertempat di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di ibu negara.

Forum dan Dialog tersebut dikendalikan dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan, Kementerian Pendidikan, institusi-institusi pengajian tinggi dan Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU), dengan sokongan oleh United Nations Development Programme (UNDP) for Malaysia, Singapore and Brunei Darussalam.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pembukaan tersebut ialah Setiausaha Tetap (Wawasan), JPM, Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, selaku Pengerusi JKPK SDGs. Majlis turut dihadiri oleh UNDP Resident Representative for Malaysia, Singapore and Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Edward Vrkic.

Dalam ucapan alu-aluannya, tetamu kehormat menekankan bahawa pembangunan mampan bukan hanya mengenai pencapaian sasaran, tetapi berteraskan rakyat dengan memastikan setiap individu mempunyai peluang untuk belajar, bekerja, mengambil bahagian dan menyumbang, selaras dengan prinsip Agenda 2030 untuk tidak meninggalkan sesiapa pun (Leave No  One  Behind).

Tegasnya lagi, keterangkuman golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) juga perlu terus diperkukuh dengan menyediakan peluang dan ruang yang sewajarnya bagi penyertaan penuh dalam masyarakat.                                                  

Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh UNDP Resident Representative for Malaysia, Singapore and Brunei Darussalam, diikuti dengan ucaptama bertajuk 'Advancing the SDGs: From Global Commitments to National Action' yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Pejabat Wawasan Brunei, JPM, Pengiran Khairil Bahriah binti Pengiran Haji Mohd. Ali, selaku Ketua Sekretariat JKPK SDGs.

Bertemakan 'SDGs Beyond Limits', forum dan dialog ini mengetengahkan pembangunan mampan yang inklusif, pendekatan pelbagai sektor dalam memacu kemajuan SDGs serta peranan aktif belia dalam menyumbang kepada perubahan yang positif dan mampan.

Usaha ke arah pencapaian SDGs turut melengkapi Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat serta mendukung pembangunan negara yang mampan dan berdaya tahan. 

Forum dan dialog berkenaan menghimpunkan wakil-wakil daripada kementerian dan agensi kerajaan, sektor swasta, institusi pengajian tinggi, badan bukan kerajaan, belia, golongan OKU serta pihak-pihak berkepentingan yang lain. Sementara itu, Dialog Belia SDGs disertai seramai 44 orang peserta belia daripada pelbagai latar belakang.

Forum dan dialog tersebut berlangsung selama tiga hari, dari 10 sehingga 12 Ogos 2026, merangkumi sesi perbincangan dan perkongsian, lawatan sambil belajar ke pusat-pusat OKU serta sesi interaktif bersama golongan OKU. Hasil perbincangan akan menyumbang kepada penyediaan Pernyataan Belia SDGs (SDGs Youth Statement) dan seterusnya kepada pengisian Voluntary National Review Ke-3 Negara Brunei Darussalam pada tahun 2027.