Memperkukuh kompetensi, keupayaan negara menjalankan siasatan kemalangan udara, maritim

11 Og 2026 - 7:56am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), dengan kerjasama  Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD), hari ini mengadakan Bengkel Latihan Dalaman Mengenai Teknik dan Pengurusan Siasatan Kemalangan (Udara dan Maritim) yang dikendalikan oleh Transport Safety Investigation Bureau (TSIB), Republik Singapura, bertempat di Parkview Hotel, Jerudong.

Hadir pada acara pembukaan berkenaan, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), MTIC, Awang Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar.

Bengkel selama lapan hari berkenaan merangkumi Aviation Investigation Techniques and Management Training yang diadakan pada 10 hingga 13 Ogos 2026, dan Marine Investigation Techniques and Management Training yang akan diadakan pada 17 hingga 20 Ogos 2026.

Latihan berkenaan bertujuan untuk memperkukuh kompetensi dan keupayaan negara dalam menjalankan siasatan kemalangan udara dan maritim secara bebas, objektif, profesional dan menyeluruh, selaras dengan piawaian dan amalan terbaik antarabangsa.

Keupayaan siasatan yang mantap adalah penting bagi memastikan setiap kemalangan dapat dikenal pasti punca dan faktor penyumbangnya secara teratur, seterusnya membolehkan pengajaran dan cadangan keselamatan diambil bagi mencegah kejadian yang sama daripada berulang. Usaha berkenaan merupakan antara langkah penting dalam memperkukuh tahap keselamatan dan daya tahan sektor pengangkutan negara.

Penganjuran bengkel berkenaan juga mencerminkan kerjasama berterusan antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Singapura di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama dalam Penyiasatan Kemalangan dan Insiden Pesawat Udara serta Marin yang telah ditandatangani pada 2017.

Seramai 30 peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan agensi kerajaan serta pihak berkepentingan berkaitan menyertai bengkel berkenaan, termasuk Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), MPABD dan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB).

Selain mempertingkatkan kemahiran teknikal, bengkel berkenaan turut menyediakan platform bagi perkongsian kepakaran, pengalaman dan pengetahuan, di samping memperkukuh penyelarasan dan jaringan profesional antara agensi yang terlibat dalam keselamatan dan penyiasatan kemalangan udara dan maritim.

Penganjuran bengkel berkenaan adalah selaras dengan komitmen berterusan MTIC untuk memperkukuh keupayaan dan kesiapsiagaan negara dalam bidang keselamatan pengangkutan, serta memastikan hasil dan pengajaran daripada sesuatu insiden dapat dimanfaatkan bagi penambahbaikan berterusan demi keselamatan pengguna dan kepentingan NBD.