Memastikan rakyat Brunei mempunyai perlindungan jika identiti, data peribadi disalahgunakan

11 Og 2026 - 9:34am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Berkenaan dengan isu keselamatan siber dan perlindungan data peribadi, sebagaimana yang telah disentuh dalam perbahasan Usul penjelasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035, khususnya mengenai isu ‘scammer’, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, juga Ketua Kampung Sengkarai menekankan bahawa perkara ini perlu diberikan perhatian yang serius.

Menurut Yang berhormat, keselamatan dan perlindungan data peribadi rakyat Brunei bukan sahaja perlu dipastikan ketika berada di dalam negara, tetapi juga ketika rakyat berada di luar negara. Ini kerana penyalahgunaan identiti dan data peribadi boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira tempat dan keadaan.

"Sebagai contoh, terdapat kes seorang warga Brunei yang melancong ke luar negara dan telah membeli kad SIM telefon bimbit di negara berkenaan. Data peribadinya telah digunakan untuk tujuan pendaftaran kad SIM tersebut.

"Namun, apabila beliau kembali ke negara berkenaan pada kunjungan yang seterusnya, beliau telah ditahan di lapangan terbang oleh pihak keselamatan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti ‘scam’.

"Walaupun individu tersebut tidak terlibat dalam kegiatan berkenaan, identiti dan data peribadinya dipercayai telah disalahgunakan oleh pihak lain untuk tujuan penipuan. Contoh ini menunjukkan bahawa penyalahgunaan data peribadi bukan sahaja boleh menjejaskan kewangan dan reputasi seseorang, malah boleh menyebabkan seseorang berdepan dengan masalah undang-undang di negara lain walaupun dirinya tidak melakukan kesalahan tersebut," jelas Yang Berhormat dalam Perbahasan Usul pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Justeru tambah Yang Berhormat, sejauh mana mekanisme perlindungan rakyat Brunei dapat diperkukuhkan, khususnya dalam menangani penyalahgunaan identiti dan data peribadi yang berlaku di luar negara. Perkara ini juga memerlukan kerjasama antara agensi kerajaan, pihak telekomunikasi, institusi kewangan serta pihak berkuasa luar negara.

Kata Yang Berhormat, perlindungan data peribadi bukan lagi sekadar isu teknologi atau privasi, tetapi merupakan sebahagian daripada keselamatan rakyat dan kepentingan negara. Oleh itu, kita perlu memastikan rakyat Brunei mempunyai perlindungan dan saluran bantuan yang jelas sekiranya identiti atau data peribadi mereka disalahgunakan, sama ada di dalam mahupun di luar negara.

"Kaola juga ingin mencadangkan supaya satu mekanisme atau saluran bantuan yang lebih jelas diwujudkan bagi rakyat yang menjadi mangsa penyalahgunaan identiti, termasuk panduan mengenai tindakan yang perlu diambil, pihak yang perlu dihubungi serta bantuan yang boleh diberikan apabila mereka berada di luar negara.

"Pada hemat kaola, kita tidak mahu menunggu sehingga lebih ramai rakyat menjadi mangsa sebelum langkah-langkah pencegahan diperkukuhkan. Dalam era digital, data peribadi adalah sebahagian daripada identiti seseorang. Apabila identiti itu disalahgunakan, kesannya bukan sahaja kepada individu, tetapi boleh menjejaskan keselamatan, reputasi dan keyakinan rakyat terhadap sistem perlindungan negara," kata Yang Berhormat.

Yang Berhormat seterusnya berkata keselamatan siber dan perlindungan data peribadi ini dapat dilihat sebagai satu aspek penting dalam agenda keselamatan negara dan Wawasan Brunei 2035. Kita perlu memastikan bahawa rakyat Brunei bukan sahaja selamat ketika berada di negara sendiri, tetapi turut mendapat perlindungan dan sokongan yang sewajarnya apabila mereka berada di luar negara.

Yang Berhormat juga ingin menekankan pentingnya pihak kerajaan mengukuhkan kerjasama dengan individu, pihak swasta, persatuan dan badan-badan NGO yang mempunyai kepakaran, pengalaman, kemampuan untuk serta membantu menggerakkan agenda pembangunan negara.

Pendekatan ini kata Yang Berhormat lagi, selaras dengan konsep Whole of Nation of Approach, iaitu penglibatan seluruh lapisan masyarakat secara bersama dalam rancangan dan melaksanakan pembangunan negara jika terdapat amalan atau model yang telah terbukti berjaya di luar negara.

Kita tambah Yang Berhormat boleh mempelajari, menyesuaikan dan melaksanakannya mengikut kesesuaian serta keperluan Brunei. Kerjasama ini boleh diperkasa melalui usaha sama pengkongsian kepakaran, projek perintis dan lantikan strategik yang bersesuaian. Yang Berhormat berpendapat telah tiba masanya kita tidak lagi bergerak atau membuat keputusan secara silo.

"Jika kita mahukan hasil yang lebih baik, kita perlu menggembleng kepakaran, pengalaman dan idea daripada semua pihak melaui pendekatan Whole of Nation demi mempercepatkan pembangunan dan mencapai Wawasan Brunei 2035.

"Kita mahu pembangunan bukan sahaja berlaku di peringkat nasional, tetapi turut dirasakan di setiap daerah, mukim dan kampung.

"Akhirnya, kaola percaya bahawa Wawasan Brunei 2035 adalah tanggungjawab kita bersama. Kerajaan merancang, agensi melaksanakan, sektor swasta mengembangkan dan rakyat turut menyumbang. Jika semua pihak bergerak dalam satu arah dengan kesungguhan dan konsistensi, insyaaAllah usaha yang kita laksanakan hari ini akan menjadi asas kepada masa depan negara yang lebih kukuh, makmur dan sejahtera," ujar Yang Berhormat lagi.