Melahirkan mahasiswa berdisiplin, berdaya tahan, berkemahiran

12 Og 2026 - 6:25am

Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos. - Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Kursus Asas Kadet Bomba dan Penyelamat UNISSA bagi pengambilan kelima, keenam dan ketujuh baru-baru ini, bertempat di Auditorium UNISSA.

Majlis berkenaan dihadiri oleh kira-kira 50 kadet yang telah berjaya menamatkan kursus asas kadet bomba.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Penolong Penguasa Bomba Azlina binti Haji Adnan.

Turut hadir menyaksikan majlis, Timbalan Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), Dr. Hajah Ummi Fa'izah binti Haji Abdul Rahman; dan Penyelaras Pasukan Beruniform, Dayang Amalena binti Haji Jarudin; Guru Pengawas Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat UNISSA, Dr. Nor Surilawana binti Haji Sulaiman; bersama Pemangku Pegawai Balai Mohd. Fakhrul Anwar bin Haji Bakri, serta Penolong Pegawai Balai Zarinah binti Zainal, yang merupakan antara pegawai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) yang membimbing latihan para kadet sepanjang kursus.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Kadet Bomba Muhamad Raif Rahimi bin Rosli, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Kadet Bomba Awangku Md. Aqil Harraz bin Pengiran Haji Muhammad Japar selaku Pengerusi Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat UNISSA Sesi 2025/2026.

Seterusnya, Penolong Penguasa Bomba Azlina binti Haji Adnan telah menyempurnakan penyampaian Sijil Kursus Asas Kadet Bomba dan Penyelamat kepada para kadet bagi pengambilan kelima, keenam dan ketujuh sebagai pengiktirafan atas kejayaan mereka menamatkan latihan yang telah dijalankan.

Bagi menghargai pencapaian cemerlang sepanjang mengikuti latihan, majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Terbaik Kadet Bomba dan Penyelamat UNISSA bagi setiap pengambilan, merangkumi Kategori Terbaik Teori, Kategori Terbaik Praktikal dan Kategori Terbaik Keseluruhan sebagai pengiktirafan terhadap prestasi, kemahiran, disiplin serta komitmen yang ditunjukkan oleh para kadet sepanjang mengikuti kursus.

Penganjuran majlis berkenaan bertujuan untuk memberikan penghargaan serta mengucapkan tahniah kepada para kadet yang telah menunjukkan komitmen dan dedikasi sepanjang mengikuti latihan sehingga berjaya menamatkan Kursus Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat UNISSA.

Di samping itu, majlis berkenaan mencerminkan komitmen UNISSA dalam melahirkan mahasiswa yang berdisiplin, berdaya tahan, berkemahiran serta mempunyai semangat kepimpinan, kesukarelawanan dan kesiapsiagaan melalui kerjasama berterusan bersama JBP.

Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Penutup yang dipimpin oleh Kadet Bomba Adam bin Norsin, diikuti dengan sesi bergambar ramai bersama para tetamu jemputan, pegawai-pegawai JBP, pensyarah PPIB serta para penerima sijil.