Oleh : Khartini Hamir
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
RIMBA, Selasa, 18 Ogos. - Majlis Penyampaian dan Penghargaan bagi Projek Second Chance telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dr. Awang Norfarizal bin Othman bertempat di Dewan Ittisal, Institut Perkhidmatan Awam (IPA), Rimba, Gadong.
Juga hadir sama ialah Pengarah IPA, Dr. Hajah Noor Maya binti Haji Md. Salleh, bersama pegawai-pegawai dari IPA, wakil-wakil daripada sektor swasta selaku penaja dan rakan kerjasama serta tetamu jemputan yang telah menyumbang kepada kejayaan Projek Second Chance.
Terdahulu majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh salah seorang peserta Program Eksekutif Muda (YEP), Ampuan Muhammad Fu'ad bin Ampuan Babba.
Seterusnya, ucapan penghargaan daripada Ketua Projek Second Chance, Awang Abdul Hafiz bin Haji Ramli, yang mengetengahkan bahawa Projek Second Chance merupakan sebuah projek kemasyarakatan di bawah Program Eksekutif Muda Kohort Ke-11, yang memberikan perhatian terhadap kepentingan kesihatan mental khususnya dalam kalangan pejuang kanser dan penjaga pesakit kanser.
Projek ini diungkayahkan oleh lima orang ahli kumpulan yang mana mereka percaya bahawa setiap insan berhak untuk didengari, diberikan sokongan dan diberi peluang kedua untuk meneruskan kehidupan dengan penuh harapan dan keyakinan, dan ia selaras dengan moto 'Second Chance Where the Voice Begins'.
Beberapa inisiatif telah dilaksanakan dalam projek ini termasuk penerbitan beberapa episod podcast yang dijayakan bersama New Wave Studio, yang mana kumpulan tersebut menjemput beberapa tetamu khas yang telah bebas daripada penyakit kanser dan penjaga-penjaga pesakit untuk mengongsikan pengalaman mereka dan cara mereka mengendalikan emosi ketika sedang menjalani rawatan.
Di dalam podcast tersebut, kumpulan tersebut juga menjemput Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Awang Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi, dalam episod bertajuk 'Hikmah dalam Ujian' dan Psikologi Klinikal di Pusat Promosi Kesihatan, Dayang Nor Syahmun binti Haji Matassan, dalam episod bertajuk 'Bangkit Bersama : Sokongan menjadi Kekuatan'.
Selain daripada siri podcast tersebut, Pasukan Second Chance juga telah menjalin kerjasama dengan Counselling with Mena, iaitu seorang kaunselor bertauliah yang pakar dalam bidang kesedihan dan trauma, bagi menyediakan sokongan emosi tambahan serta bimbingan profesional sepanjang pelaksanaan inisiatif projek ini.
Antara langkah usaha lain yang telah dilaksanakan adalah dengan memuat naik beberapa klip video pendek di media sosial rasmi Second Chance, serta aktiviti kempen kesedaran dalam menjaga kesihatan mental bagi pesakit kanser dan penjaga-penjaga pesakit di Bandarku Ceria yang ditaja oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), SEHAT Water IBIC Sdn. Bhd., D'Sunlit Sdn. Bhd., Memorings Brunei dan AIA Brunei.
Setiap perkongsian membawa perspektif yang tersendiri, namun semuanya menyampaikan satu mesej yang sama bahawa seseorang tidak seharusnya menghadapi perjuangan mereka secara bersendirian. Kumpulan Second Chance berharap inisiatif ini dapat membuka ruang perbualan yang lebih terbuka dan mendalam mengenai kesihatan mental.
Usaha kecil ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat, mengurangkan stigma dan menggalakkan masyarakat untuk menjadi lebih prihatin terhadap pejuang-pejuang kanser.
Acara kemudian disusuli dengan tayangan video klip bertajuk 'Second Chance : Returning to Work' yang ditaja oleh Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) dan satu lagi video yang memaparkan perjalanan projek yang telah dilaksanakan.
Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam menjayakan Projek Second Chance yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah JPA, JPM.