Siaran Akhbar dan Foto : Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Universiti
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 18 Ogos. - Bulan Rabiulawal adalah bulan yang ditunggu-tunggu oleh Umat Islam di seluruh dunia, bulan yang penuh keberkatan kerana di dalamnya terdapat Hari Kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Sehubungan itu, Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir (AJKT) Masjid dan Muslimah Masjid mengadakan Majlis Dikir Maulud sempena memperingati Hari Kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Dikir Maulud ini diadakan selama 12 malam berturut-turut hingga 24 Ogos 2026. Majlis Dikir Maulud yang diadakan baru-baru ini diserikan lagi dengan kehadiran Rombongan Jemputan dari Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Darussalam Holding Sdn. Bhd.
Hadir selaku Ketua Rombongan ialah Ketua Bahagian Audit Dalaman, Perbadanan TAIB, Awang Md. Zolrimi bin Haji Muhaimin dan Pengarah Urusan Darussalam Holding Sdn. Bhd., Awang Haji Mahmud bin Haji Mohamed. Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran AJKT Masjid, Muslimah Masjid dan orang awam bagi sama-sama mengimarahkan Masjid.
Di samping mengimarah dan menghidupkan masjid pada malam-malam sebelum tarikh kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, usaha ini diharapkan akan dapat memupuk dan mengeratkan lagi ukhwah Islamiyyah dalam kalangan masyarakat di semua peringkat umur dan menanamkan nilai keislaman dalam kehidupan seharian.
Di harap ia juga akan dapat melatih masyarakat untuk sentiasa mengingati tarikh kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.