Kontinjen NBD bagi Sukan Wushu berlepas ke Selangor

19 Og 2026 - 7:20am

Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami

BERAKAS, Selasa, 18 Ogos. - Seramai lapan orang ahli kontinjen Negara Brunei Darussalam (NBD) terdiri daripada Pasukan Wushu iaitu enam orang atlet dan dua orang jurulatih telah berlepas ke Selangor, Malaysia bagi menyertai kejohanan Sukan Malaysia XXII (SUKMA), petang tadi.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) bagi mengucapkan selamat belayar kepada kontinjen negara ialah Pemangku Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Noorfaizah binti Haji Suboh. Turut hadir ialah pegawai-pegawai Jabatan Belia dan Sukan, wakil daripada Persekutuan Wushu NBD serta keluarga atlet.

Majlis terlebih dahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan nasihat serta kata-kata motivasi oleh Pemangku Timbalan Pengarah Belia dan Sukan dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.

Atlet-atlet Wushu negara akan mula bertanding pada 20 Ogos 2026 bertempat di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam dan akan mengambil bahagian dalam Kategori Taolu Lelaki bagi acara TaijiQuan-TaijiJian; ChangQuan; DaoShu-GunShu; NanQuan; NanDao-Nangun; serta Kategori Taolu Wanita bagi acara TaijiQuan-TaijiJian; NanQuan; dan NanDao-Nangun. Rombongan ketujuh dan terakhir akan bertolak ke Selangor, Malaysia pada Rabu, 19 Ogos 2026.