Siaran Akhbar dan Foto / Infografik : Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) sedang melaksanakan Penyenaraian Tempat Kediaman (‘Houselisting’) bermula 3 hingga 23 Ogos 2026 melibatkan isi rumah di kawasan yang telah ditetapkan.
Penyenaraian tersebut bertujuan untuk mengemaskinikan senarai tempat kediaman serta maklumat isi rumah di kawasan terpilih sebagai persediaan bagi Kajian Tenaga Kerja (KTK) 2026 yang akan dijalankan pada 5 Oktober hingga 1 November 2026.
Hasil kajian berkenaan akan digunakan oleh pihak kerajaan dalam merangka dasar-dasar ekonomi dan sosial yang lebih komprehensif dan berkesan.
Pegawai-pegawai kajian akan mengunjungi tempat-tempat kediaman bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan, termasuk nama dan nombor telefon ketua keluarga atau isi rumah, jumlah ahli isi rumah serta alamat tempat kediaman yang terpilih. Setelah proses pengumpulan maklumat selesai, pegawai berkenaan akan memasang pelekat penanda di setiap tempat kediaman yang telah disenaraikan.
Bagi memastikan proses berjalan lancar, isi rumah yang terpilih dinasihatkan supaya mengesahkan identiti pegawai kajian dengan memeriksa pas kajian, surat lantikan, kad pengenalan dan ‘vest’ rasmi JPES. Isi rumah yang mempunyai haiwan peliharaan, khususnya anjing, turut disarankan menempatkan haiwan tersebut di lokasi yang bersesuaian demi keselamatan pegawai semasa menjalankan lawatan.
KTK 2026 dilaksanakan di bawah Akta Perangkaan, Penggal 81 Undang-Undang Negara Brunei Darussalam. JPES memberi jaminan bahawa semua maklumat yang dikumpulkan adalah sulit dan hanya digunakan bagi tujuan perangkaan.
Menurut Seksyen 9 Akta Perangkaan, kegagalan atau keengganan memberikan maklumat yang diperlukan atau memberikan maklumat palsu merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan denda sehingga BND4,000.
Sehubungan itu, JPES mengharapkan sokongan dan kerjasama semua keluarga atau isi rumah yang terpilih bagi menjayakan Penyenaraian Tempat Kediaman dan KTK 2026.
Sebarang pertanyaan mengenai KTK 2026 boleh diajukan melalui telefon dan WhatsApp +673 7469844 (Isnin hingga Khamis dan Sabtu, 7.45 pagi hingga 4.30 petang), e-mel ‘labourforce.survey@jpes.gov.bn’ atau melayari ‘www.deps.gov.bn’.