Digital Brunei 2030 meningkatkan produktiviti, inovasi, daya saing perusahaan tempatan

11 Og 2026 - 8:25am

Oleh : Hajah Rosidah Haji Ismail

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos menjelaskan bahawa Digital Brunei 2030 merupakan pelan hala tuju transformasi digital kebangsaan yang menyediakan rangka kerja bagi membangunkan ekosistem digital Negara Brunei Darussalam, merangkumi sektor kerajaan, masyarakat dan perniagaan sehingga tahun 2030. 

Menurut Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, penyediaan Pelan Digital Brunei 2030 telah dilaksanakan melalui beberapa siri sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan, termasuklah Chambers of Commerce, bagi mendapatkan pandangan dalam usaha untuk memastikan pelan yang dirangka mengambil kira keperluan dan aspirasi pelbagai sektor. 

Yang Berhormat menjelaskan demikian bagi menjawab pertanyaan mengenai usaha kementerian memastikan pelaksanaan Digital Brunei 2030 dapat memberikan hasil yang nyata kepada perusahaan tempatan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Lau How Teck pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Kali Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini. 

Bagi memastikan transformasi digital ini dapat menyumbang kepada peningkatan produktiviti, inovasi dan daya saing perusahaan tempatan, Yang Berhormat berkata kementerian memberi tumpuan kepada empat strategi utama yang saling melengkapi iaitu Digital Government, Digital Society, Digital Business, serta Data dan AI. 

“Pertama, melalui Digital Government. Kementerian berusaha untuk memperluaskan penggunaan perkhidmatan dan aplikasi digital dalam setiap penyampaian perkhidmatan kerajaan di samping memperkemas proses dan mengurangkan birokrasi. 

“Kedua, Digital Society.  Dengan memberi tumpuan kepada peningkatan literasi dan kemahiran digital rakyat serta tenaga kerja dalam memastikan Negara Brunei Darussalam mempunyai sumber manusia yang bersedia memenuhi keperluan ekonomi digital dan menyokong pertumbuhan perusahaan tempatan. 

“Ketiga, melalui Digital Business. Kementerian komited untuk menggalakkan penggunaan teknologi serta pembayaran digital yang selamat dan cekap, memudahkan urusan perniagaan, mengurangkan kos transaksi dan membantu perusahaan tempatan meningkatkan kecekapan operasi. 

“Keempat, Data dan AI akan memperkukuh keupayaan perusahaan untuk memanfaatkan data, Kecerdasan Buatan dan analitik dalam membuat keputusan, meningkatkan produktiviti serta menghasilkan produk dan perkhidmatan yang lebih inovatif,” jelas Yang Berhormat lagi. 

Keempat-empat strategi utama ini menurut Yang Berhormat, mempunyai hubungan langsung dengan produktiviti, inovasi dan daya saing. Proses yang lebih cekap meningkatkan produktiviti. Akses kepada Data dan AI merangsang inovasi, manakala tenaga kerja yang berkemahiran digital memperkukuh daya saing perusahaan, termasuk di pasaran serantau. 

Yang Berhormat seterusnya menyatakan bahawa kementerian menyedari bahawa pelan yang baik hanya akan memberikan impak sekiranya pelaksanaannya berkesan. Oleh itu, kita tidak hanya boleh bergantung kepada perancangan semata-mata, tetapi juga turut memberi perhatian kepada pelaksanaannya, pemantauanya dan penambahbaikannya dibuat secara berterusan.  

“Ini dapat dilaksanakan melalui penglibatan pelbagai pihak berkepentingan, khususnya sektor swasta, institusi akademik dan pemain industri, bagi memastikan dasar dan inisiatif yang dirangka benar-benar mengambil kira keperluan semasa. Sesi libat urus juga akan terus dilaksanakan dan dipertingkatkan bagi mendapatkan maklum balas, menilai kemajuan serta mengenal pasti cabaran, agar pendekatan yang diambil sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa,” ujar Yang Berhormat.

Dalam perkara yang berkaitan juga, kementerian akan secara terus-menerus memberikan sokongan kepada perusahaan tempatan, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana, melalui inisiatif-inisiatif seperti adaptasi digital, pembangunan kemahiran dan projek perintis, bagi membantu perusahaan mengatasi cabaran dalam menggunapakai teknologi. Pemantauan prestasi juga penting untuk memastikan usaha ini menghasilkan impak yang boleh diukur. Oleh yang demikian, petunjuk prestasi yang bersesuaian akan digunakan untuk menilai perkembangan penggunaan teknologi digital, termasuk pameran digital dan AI, serta manfaatnya kepada perusahaan. 

“Kita semua mengetahui bahawa kejayaan agensi transformasi digital tidak dapat dicapai secara bersendirian. Sebaliknya, ia menuntut kerjasama bersepadu antara kerajaan, sektor swasta, institusi akademik dan masyarakat, sebagai satu usaha bersama dalam merealisasikan aspirasi Digital Brunei 2030. Dalam hubungan ini, apa yang kita hasratkan ialah agar setiap dasar dan inisiatif yang dilaksanakan adalah praktikal dan mesra perniagaan, teknologi dapat diakses dengan kos yang bersesuaian, dan pengetahuan serta kemahiran digital akan dapat terus diperkembangkan,” jelas Yang Berhormat lagi. 

Tegas Yang Berhormat, Digital Brunei 2030 bukan sekadar mengenai teknologi, tetapi mengenai manfaat yang dapat dihasilkan melalui teknologi. Matlamat kita adalah untuk memastikan setiap perusahaan, tanpa mengira saiz, dapat memanfaatkan teknologi digital untuk menjadi lebih produktif, lebih inovatif dan lebih berdaya saing, bukan sahaja di dalam Negara Brunei Darussalam, bahkan di peringkat serantau. Teknologi adalah alat. Ukuran kejayaan kita ialah sejauh mana alat tersebut dapat meningkatkan produktiviti, membuka peluang dan membawa manfaat yang nyata kepada rakyat serta perusahaan tempatan.