Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, juga Ketua Kampung Sengkarai ketika membahaskan Perbahasan Usul pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, menyentuh mengenai Wawasan Brunei 2035 yang semakin hampir kepada tempoh sasarannya.
Kejayaannya kata Yang Berhormat bukan hanya bergantung kepada perancangan, tetapi kepada tindakan dan pelaksanaan yang bersepadu, konsisten dan berterusan oleh semua pihak.
Yang Berhormat menekankan agar penglibatan seluruh lapisan masyarakat, tanpa mengira bangsa, usia dan latar belakang, amat diperlukan kerana setiap seorang mempunyai peranan dalam pembangunan negara. Dalam tempoh ini, kita tidak perlu terlalu ghairah memperkenalkan banyak perkara baharu sekiranya kemampuan pelaksanaannya belum tersedia.
"Lebih baik program yang terbukti berkesan diperkukuhkan, diselaraskan dan diperkemas, dengan sasaran serta ukuran keberhasilan yang jelas.
"Khususnya program sosioekonomi, keutamaan hendaklah diberikan kepada usaha yang memberikan impak langsung kepada rakyat melalui peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan, perkembangan PMKS dan peluang kepada anak tempatan," jelas Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya membahaskan setiap aktiviti dalam bidang sosioekonomi, kemasyarakatan, belia, sukan, kebudayaan dan sebagainya hendaklah mempunyai tujuan, sasaran, hasil dan kesinambungan yang jelas. Bukan sekadar dilaksanakan untuk memenuhi jadual atau takwim tahunan, kita perlu beralih daripada pendekatan 'buat program' kepada 'membina hasil daripada program'.
Program seperti Micro Bootcamp, Accelerate Bootcamp, Startup 673 serta pelbagai program belia, sukan dan kemahiran yang sedang dilaksanakan tambah Yang Berhormat, wajar dinilai berdasarkan impaknya, diteruskan jika berkesan dan diperbaiki jika masih mempunyai ruang untuk diperkukuhkan.
"Akhirnya, ukuran kejayaan bukan berapa banyak program yang kita adakan, tetapi berapa banyak perubahan yang kita hasilkan daripadanya.
"Kaola juga ingin menyentuh mengenai industri kreatif, yang pada hemat kaola perlu dilihat bukan sekadar sebagai aktiviti seni, kebudayaan atau hiburan, tetapi sebagai satu sektor yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
"Industri ini merangkumi muzik, filem, animasi, reka bentuk, fotografi, kandungan digital, permainan komputer, pengiklanan,fesyen, kraf tangan dan pelbagai bentuk kreativiti yang boleh menjana pekerjaan, pendapatan serta peluang perniagaan kepada anak tempatan," kata Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya berkata di beberapa buah negara, industri kreatif telah berkembang menjadi sektor ekonomi yang bernilai tinggi. United Kingdom mempunyai sekitar 2.46 juta pekerjaan dalam industri kreatif pada tahun 2025, manakala keseluruhan ekonomi kreatifnya mencapai kira-kira 4.3 juta pekerjaan.
Republik Korea pula tambah Yang Berhormat lagi, mencatatkan jualan industri kandungan sekitar KRW157 trilion dan eksport kira-kira USD14.1 bilion pada tahun 2024. Ini menunjukkan bahawa kreativiti, apabila dibangunkan secara profesional dan disokong dengan ekosistem yang betul, boleh menjadi sumber pekerjaan, eksport dan pendapatan negara.
"Maka, kaola berpandangan bahawa Negara Brunei Darussalam juga perlu melihat potensi ini dengan lebih serius. Kita mempunyai budaya, warisan, muzik, seni, kraf tangan, cerita dan identiti Melayu Islam Beraja yang boleh diterjemahkan kepada produk dan kandungan kreatif yang mempunyai nilai komersial, termasuk melalui platform digital.
"Anak-anak tempatan perlu diberikan ruang, latihan, pembiayaan, kemudahan dan akses pasaran supaya kreativiti mereka bukan hanya dipersembahkan di dalam negara, tetapi mampu dijadikan produk yang boleh dijual ke rantau ASEAN dan pasaran antarabangsa," ujar Yang Berhormat lagi.