Amanah, integriti teras transformasi Perkhidmatan Awam

30 Okt 2026 - 7:26am

Oleh : Muhammad Khairulanwar Ali Rahman

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit

BERAKAS, Khamis, 29 Oktober. - Apabila kita menyebut transformasi Perkhidmatan Awam, kita mungkin terus membayangkan kemajuan teknologi digital, Kecerdasan Buatan (AI), inovasi, sistem terkini, proses kerja yang lebih pantas dan organisasi yang lebih cekap. Tidak dinafikan semua itu sememangnya penting.

Tetapi dalam perspektif Islam, transformasi yang paling besar bukan bermula daripada kecanggihan teknologi semata-mata. Transformasi sebenar bermula daripada manusia itu sendiri.

Perkara tersebut antara yang ditekankan oleh Penolong Kanan Profesor dan Dekan, Fakulti Bahasa Arab, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Haji Hambali bin Awang Haji Jaili dalam Ceramah Khas Perkhidmatan Awam pada Majlis Kemuncak Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Kali Ke-33, Tahun 2026 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Dr. Haji Hambali menjelaskan, Perkhidmatan Awam bukan sekadar transformasi sistem, tetapi transformasi jiwa dan nawaitu kita. Terdapat tujuh transformasi utama yang perlu dimiliki oleh setiap penjawat awam dalam melaksanakan tugas serta amanah yang dipertanggungjawabkan.

Pertama, Perkhidmatan Awam adalah amanah. Dalam Surah An-Nisa ayat 58 bermaksud, "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, hendaklah kamu menghukum dengan adil”.

Ayat ini, jelas beliau, memberikan asas yang sangat kukuh kepada Perkhidmatan Awam bahawa jawatan adalah amanah, kuasa adalah amanah, masa bekerja adalah amanah, dana kerajaan adalah amanah, maklumat kerajaan adalah amanah. Setiap keputusan yang kita buat yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat dan masyarakat juga merupakan amanah.

Dr. Haji Hambali kemudian mengongsikan yang kedua adalah menjunjung kepimpinan raja dengan ketaatan dan kesungguhan.

“Islam mengajar umatnya supaya menghormati dan mentaati kepimpinan dalam perkara yang makruf. Kerana itulah, mendoakan raja dan pemimpin agar dikurniakan keadilan, kebijaksanaan serta petunjuk Allah adalah merupakan satu kewajipan setiap lapisan rakyat,” jelas beliau.

Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, kepimpinan raja bukan sekadar ketua pentadbiran negara. Ia merupakan satu institusi yang mempunyai kedudukan yang sangat penting dalam ristaan sejarah, budaya dan kehidupan bernegara.

Seterusnya yang ketiga, Perkhidmatan Awam adalah kepercayaan, bukan keistimewaan. Perlu kita fahami jawatan Perkhidmatan Awam yang kita pikul bukanlah satu tashrif (kemuliaan) tetapi ia adalah taklif (khidmat dan beban). Ini jelas sebagaimana kita melihat dalam contoh para sahabat melihat jawatan dalam Perkhidmatan Awam sebagai amanah yang harus dipikul dengan rasa takut kepada Allah.

Mereka tidak melihat jawatan sebagai peluang untuk menikmati kemewahan. Sebaliknya, mereka melihatnya sebagai beban yang akan dipersoalkan di hadapan Allah.

“Yang keempat adalah amanah mesti disertai kompetensi. Perlu difahami bahawa Islam tidak hanya menuntut kita menjadi penjawat awam yang baik. Tetapi Islam juga menuntut kita menjadi penjawat awam yang berkebolehan,” tambah Dr. Haji Hambali.

Justeru itu, amanah tanpa kompetensi adalah tidak memadai. Begitu juga kompetensi tanpa amanah juga adalah sia-sia. Kita memerlukan kedua-duanya.

Yang kelima pula, transformasi teknologi digital seiring transformasi akhlak. Jelas beliau, hari ini kita bercakap tentang digitalisasi, AI, dan perkhidmatan kerajaan yang lebih pintar. Semua ini adalah perlu dan sesuai dengan perkembangan zaman. Namun kita perlu ingat, teknologi boleh mempercepatkan kerja, tetapi manusialah yang menentukan arah kerja. Sistem boleh menjadi canggih, tetapi jika manusia tidak amanah, sistem itu boleh disalahgunakan.

“Data boleh menjadi hebat, Tetapi jika tiada integriti, data boleh dimanipulasi. Sebab itu transformasi yang sebenar mempunyai dua dimensi iaitu transformasi sistem dan transformasi akhlak.

“Oleh itu, akhlak menjadi nadi panduan utama dalam penggunaan teknologi digital agar kemajuan tidak disalahgunakan atau menghakis nilai kemanusiaan. Teknologi mempercepat urusan dan penyampaian maklumat, tetapi akhlak pula menentukan sama ada ia digunakan sebaiknya ataupun tidak,” tambah beliau.

Kemudian yang keenam, berlaku adil dan ihsan dalam setiap tindakan.

Dr. Haji Hambali menjelaskan, keadilan iaitu memberikan hak yang sewajarnya, manakala ihsan ialah memberikan yang terbaik. Sepertimana dalam firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah An-Nahl ayat 90 yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat ihsan”.

Akhir sekali, yang ketujuh, integriti menjaga maruah kerajaan dan negara. Integriti bukan sekadar nilai peribadi, tetapi cerminan maruah kerajaan dan negara. Menjaga integriti bererti memelihara amanah, membina kepercayaan masyarakat serta mempertahankan nama baik raja dan negara.

“Cuba kita renungkan akan integriti Umar bin Abdul Aziz (Rahimahullah) di mana beliau sangat berhati-hati membezakan antara kepentingan negara dan kepentingan peribadi. Diriwayatkan beliau menggunakan lampu yang dibiayai oleh Baitulmal untuk urusan kerajaan dan urusan rasmi. Namun apabila urusan peribadi bermula, beliau serta-merta tidak mahu menggunakan kemudahan lampu tersebut,” jelas beliau.

Soal integriti, jelas beliau, ditekankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa‘adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah sempena Sambutan HPA 2023 antara lain baginda menegaskan bahawa integriti Perkhidmatan Awam mesti sentiasa teguh dan tidak boleh roboh, kerana keruntuhan integriti akan membawa kepada pelbagai gejala negatif seperti penyelewengan bagi kepentingan peribadi dan rasuah.

Dalam mengakhiri ceramah khas tersebut, beliau menyeru untuk terus beriltizam dan sentiasa menghayati 11 rukun dan etika kerja Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam, bersama lakukan transformasi. Daripada bekerja untuk jawatan, kepada bekerja demi amanah.

Daripada bekerja untuk mengejar kedudukan, kepada bekerja demi memperoleh keberkatan. Daripada melihat rakyat dan masyarakat sebagai pelanggan, kepada melihat mereka sebagai amanah. Daripada hanya melaksanakan arahan, kepada menterjemahkan melalui perkhidmatan menjadi hasil yang berkesan. Dan daripada sekadar menyebut kesetiaan kepada raja, kepada membuktikannya melalui kerja yang cemerlang untuk negara.