Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pertahanan
CEBU, REPUBLIK FILIPINA, Jumaat, 30 Oktober. - Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) Ke-13 telah diadakan baru-baru ini di Pusat Ekspo Mactan, Cebu, Republik Filipina.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Setiausaha Pertahanan Nasional, Republik Filipina Yang Berhormat Gilberto C. Teodoro Jr., selaku Pengerusi ADMM-Plus Ke-13, dan dihadiri oleh Menteri-Menteri Pertahanan dan wakil-wakil ADMM-Plus serta Setiausaha Agung ASEAN.
Delegasi Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Turut serta dalam rombongan ialah Setiausaha Tetap (Dasar dan Pentadbiran), Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim, dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pertahanan.
Juga menghadiri mesyuarat tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Filipina, Puan Yang Terutama Megawati binti Dato Paduka Haji Manan.
Dengan tema 'Navigating Our Future, Together', mesyuarat tersebut mencapai kesepakatan dalam menerima-pakai kenyataan Joint Statement by the ADMM-Plus on Youth, Peace and Security, yang menekankan peranan belia sebagai rakan kongsi penting dalam mencapai keamanan dan keselamatan.
Di bawah agenda 'Exchange of Views', mesyuarat turut membincangkan dinamika keselamatan serantau dan antarabangsa, serta komitmen bersama untuk memelihara keamanan dan kestabilan melalui semangat ASEAN Centrality dan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (Treaty of Amity and Cooperation in Southeast Asia).
Majlis penyerahan kepengerusian telah diadakan yang menandakan berakhirnya peranan Republik Filipina sebagai Pengerusi ADMM dan ADMM-Plus bagi tahun 2026.
Republik Singapura akan memegang peranan sebagai Pengerusi ADMM dan ADMM-Plus bagi tahun 2027 dengan membawa tema 'Future-ready, Adaptive and Resilient'.
Di samping ADMM-Plus Ke-13, Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II turut berkesempatan mengadakan pertemuan dua hala dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Australia, Yang Berhormat Richard Marles MP, yang mana kedua-dua belah pihak mengesahkan hubungan pertahanan yang rapat di antara kedua-dua buah negara dan akan bekerjasama untuk memperkukuhkannya lagi.