55 peserta tamat Bengkel Urutan Tradisional Melayu

11 Og 2026 - 8:09am

Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan

 

SENGKURONG, Isnin, 10 Ogos. - Seramai 55 orang peserta yang berjaya menamatkan Bengkel Urutan Tradisional Melayu diraikan malam tadi dalam Majlis Penyampaian Sijil yang berlangsung di salah sebuah restoran di Sengkurong, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada malam tadi ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Mohamad Ali bin Tanjong, Ketua Kampung Lumapas 'B', yang juga berkesudian menyempurnakan majlis penyampaian sijil kepada para peserta lelaki bengkel berkenaan.

Pada majlis berkenaan turut diselajurkan penyampaian Sijil Khas kepada beberapa orang tenaga pengajar yang mengendalikan latihan dalam teori dan praktikal mengikut kepakaran masing-masing.

Juga hadir ialah Dayang Hajah Mariam binti Napiah selaku Pengasas Urutan Tradisional Melayu WA yang turut berkesudian menyempurnakan majlis penyampaian sijil kepada para peserta wanita bengkel berkenaan.

Pengasas Urutan Tradisional Melayu WA pada majlis tersebut juga berpeluang menyampaikan beberapa saranan, nasihat serta kata-kata semangat kepada para peserta bengkel yang diraikan sebelum mereka menceburkan diri ke dalam bidang urutan tradisional.

Bengkel yang dianjurkan oleh Al Fitrah Sihat Care dengan kerjasama ERKK Waty Armeyza WA tersebut diharap dapat memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai asas urutan tradisional dan seterusnya membuka peluang kepada mereka untuk menjadikan kemahiran mengurut sebagai mata pencarian mereka serta pada masa yang sama dapat membantu para pesakit yang memerlukan perkhidmatan urutan khususnya di negara ini.