Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan
JERUDONG, Isnin, 10 Ogos. - Gleneagles JPMC terus memperkukuh kerjasama kesihatan serantau dengan Kerajaan Republik Demokratik Timor-Leste susulan rawatan terhadap dua pesakit lelaki dari Republik Demokratik Timor-Leste yang menjalani prosedur jantung di hospital berkenaan pada Julai 2026.
Kedua-dua pesakit berkenaan telah dirujuk untuk mendapatkan rawatan di bawah kerjasama kesihatan antara Kerajaan Timor-Leste dan Gleneagles JPMC melalui Kedutaan Republik Demokratik Timor-Leste di Negara Brunei Darussalam (NBD), yang diwakili oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Timor-Leste ke NBD, Tuan Yang Terutama Abel Guterres.
Seorang pesakit berusia 58 tahun menjalani prosedur penggantian injap Aortic dan penggantian Ascending Aorta secara serentak, manakala seorang lagi pesakit berusia 41 tahun menjalani prosedur penggantian injap Aorta.
Prosedur-prosedur berkenaan dikendalikan oleh pasukan pembedahan kardiotorasik yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Pembedahan Jantung dan Pakar Perunding Kanan Pembedahan Kardiotorasik Gleneagles JPMC, Pengiran Dr. Md. Nadzir bin Pengiran Mohd. Juanda.
Kedua-dua pesakit kini berada dalam keadaan stabil dan dijangka pulang ke negara asal dalam masa terdekat.
Inisiatif berkenaan mencerminkan perkembangan kerjasama antara Kerajaan Republik Demokratik Timor-Leste dan Gleneagles JPMC dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia kepada negara-negara jiran di rantau ini.
Kejayaan prosedur yang dijalankan turut mencerminkan komitmen hospital terhadap kecemerlangan klinikal serta peranannya sebagai sebuah institusi penjagaan kesihatan yang dipercayai.
Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles JPMC, Dr. Peter Tay, menyampaikan penghargaan yang setulus-tulusnya kepada Kerajaan Republik Demokratik Timor-Leste kerana memilih Gleneagles JPMC sebagai rakan penjagaan kesihatan yang dipercayai untuk menjalankan prosedur terhadap kedua-dua pesakit berkenaan.
"Kami berharap kerjasama ini dapat membuka peluang kepada lebih banyak rujukan dari Republik Demokratik Timor-Leste bagi mendapatkan rawatan dan prosedur berkaitan jantung. Proses pemulihan kedua-dua pesakit ini membuktikan kemahiran dan dedikasi pasukan kardiotorasik kami, di samping sistem sokongan yang kami sediakan untuk para pesakit," katanya.
Beliau turut menambah bahawa pihak hospital amat berbangga dapat menyumbang kepada kesihatan dan kesejahteraan pesakit dari rantau ini, sambil menegaskan bahawa kerjasama dengan Kerajaan Republik Demokratik Timor-Leste mencerminkan komitmen bersama dalam meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan serta hasil rawatan yang lebih baik.
Jelasnya lagi, kami amat berbangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan rawatan jantung mereka dan akan terus komited dalam memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang cemerlang kepada semua.
"Saya mendoakan agar mereka selamat dalam perjalanan pulang dan terus dikurniakan kesihatan yang baik," ujarnya lagi.
Sementara itu Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Timor-Leste ke NBD, menzahirkan rasa bangga dan penghargaan yang mendalam kerana berpeluang menyaksikan kumpulan pertama pesakit dari Republik Demokratik Timor-Leste berjaya menerima rawatan jantung di Gleneagles JPMC, NBD.
"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan, para doktor, jururawat dan seluruh pasukan perubatan atas profesionalisme, dedikasi serta penjagaan yang diberikan.
"Saya juga ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Dr. José Ramos-Horta, serta Pejabat Presiden, yang memberikan sokongan kewangan yang besar sehingga inisiatif penting ini dilaksanakan dan mencerminkan komitmen yang teguh terhadap kesihatan dan kesejahteraan rakyat kami," ujar Tuan Yang Terutama lagi.
Dengan kumpulan pertama pesakit dari Republik Demokratik Timor-Leste menerima rawatan di Gleneagles JPMC melalui inisiatif berkenaan, Tuan Yang Terutama Abel Guterres berharap agar kerjasama berkenaan menjadi permulaan kepada sebuah hubungan yang berterusan dan berkekalan, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama lanjut dalam bidang rawatan khusus, kepakaran perubatan, pertukaran profesional serta kerjasama penjagaan kesihatan yang lebih meluas.
Seiring dengan usaha berterusan Gleneagles JPMC dalam memperkukuh kedudukannya sebagai pusat rawatan jantung ‘tertiary’ terkemuka, hasil positif daripada prosedur-prosedur berkenaan menjadi bukti kepada keberkesanan kerjasama rentas sempadan serta kecemerlangan klinikal.
Pihak hospital kekal teguh dalam misinya untuk menyediakan rawatan jantung yang cemerlang dan meningkatkan hasil rawatan pesakit, bukan sahaja memulihkan kesihatan jantung, malah membawa perubahan positif kepada kehidupan keluarga dan masyarakat.