CHENGDU, 19 Ogos. - Lima orang maut manakala 17 lagi cedera selepas sebuah tembok runtuh di Wilayah Sichuan, barat daya Republik Rakyat China, pada Selasa, menurut pihak berkuasa tempatan pada Rabu.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 5.30 petang di sebuah kampung di Kaunti Changning, menurut Biro Pengurusan Kecemasan tempatan.
Siasatan awal mendapati seorang penduduk mengadakan jamuan di halaman rumahnya. Air yang berlebihan terkumpul di atas struktur sementara untuk perlindungan daripada hujan menyebabkan tembok yang digunakan sebagai penyangga struktur berkenaan runtuh.
Tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia selepas rawatan perubatan gagal menyelamatkan mereka.
Seramai 17 mangsa yang cedera kini masih menerima rawatan perubatan. - ©XINHUA