Taufan Noul akibatkan kerosakan teruk di wilayah Guangdong, China

28 Jul 2026 - 2:13pm

HUIZHOU, 28 Julai. - Taufan Noul mengakibatkan kerosakan bangunan kilang dan infrastruktur di Bandar Huizhou, selatan China pada Isnin, 27 Julai, dengan angin kencang dan hujan lebat  membadai Wilayah Guangdong, lapor Anadolu Ajansi.

Pohon tumbang serta jalan raya yang dinaiki air menjejaskan perkhidmatan pengangkutan, manakala pihak berkuasa memberi amaran peningkatan risiko banjir kilat, tanah runtuh dan bencana susulan lain berikutan taufan berkenaan yang terus membawa hujan lebat.

Taufan Noul, taufan terkuat melanda China setakat tahun ini, membadai Bandar Huizhou di selatan Wilayah Guangdong pada Ahad, membawa angin pemusnah dan hujan lebat serta memaksa pemindahan lebih 700,000 penduduk, lapor akhbar kendalian kerajaan, Global Times.

Badaian taufan itu turut menjejaskan lebih 1,000 penerbangan di wilayah Guangzhou, Shenzhen dan Hong Kong, sekali gus mendorong kerajaan memperuntukkan 100 juta yuan (US$14.79 juta) untuk pemulihan pascataufan.

Pusat Meteorologi Nasional mengeluarkan amaran merah taufan pertama bagi tahun ini – tahap amaran tertinggi dalam sistem empat peringkat – pada Sabtu malam. Selain gangguan penerbangan, lebih 190 perkhidmatan keretapi kelajuan tinggi rentas sempadan turut dibatalkan pada Ahad.

Taufan Noul, taufan tropika ke-12 bagi tahun ini, merupakan taufan pertama yang membadai Guangdong tahun ini dan yang terkuat mendarat di China setakat 2026. Noul kini dijangka bergerak ke pedalaman, membawa angin kencang dan hujan lebat ke wilayah-wilayah lain termasuk Jiangxi, Hunan dan Hubei.

Pusat Meteorologi Nasional meramalkan hujan lebat hingga sangat lebat dalam tempoh 24 jam akan datang di sebahagian besar Guangdong, selatan Fujian, tengah dan selatan Jiangxi, tenggara Hunan serta tenggara Taiwan.

Setakat Ahad, Guangdong memindahkan 715,351 penduduk selepas pihak berkuasa melaksanakan tindakan "lima penggantungan" sepenuhnya atau sebahagian, dengan menghentikan sesi persekolahan, kerja, pengeluaran, pengangkutan dan aktiviti perniagaan di 12 bandar. - ©BERNAMA