ATHENS, 28 Julai. - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres bersama rombongannya tiba di Cyprus pada petang Isnin, dalam lawatan pertama seumpamanya sejak 2010, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Menurut laporan media Cyprus, Guterres dijangka memanfaatkan lawatan tiga hari itu untuk menghidupkan semula rundingan antara komuniti Cyprus Greek dengan Cyprus Turkiye di pulau yang secara de facto terbahagi itu.
Lawatan berkenaan berkemungkinan menjadi usaha terakhir Guterres untuk menghidupkan semula proses rundingan itu memandangkan beliau akan menamatkan tugas sebagai Setiausaha Agung PBB pada penghujung tahun ini selepas dua penggal.
Cyprus terbahagi sejak 1974 susulan rampasan kuasa oleh golongan nasionalis Cyprus Greek dan campur tangan tentera Republik Turkiye selepas itu.
Pada 1983, Republik Turkiye Cyprus Utara (TRNC) diisytiharkan, namun hanya diiktiraf oleh Republik Turkiye.
Pada 2004, Kesatuan Eropah (EU) menerima seluruh pulau Cyprus sebagai anggota blok itu.
Secara teknikal, seluruh pulau berkenaan menjadi anggota EU sejak itu, namun undang-undang blok berkenaan hanya terpakai di bahagian selatan.
Ibu negara Nicosia turut kekal terbahagi, manakala zon penampan yang memisahkan kedua-dua pihak dipantau pasukan pengaman PBB.
Bagaimanapun, urusan menyeberangi sempadan melalui pusat pemeriksaan yang ditetapkan adalah agak mudah.
Pendekatan kedua-dua komuniti terhadap penyelesaian konflik semakin jauh berbeza sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pihak Cyprus Greek menyokong penyelesaian persekutuan yang terdiri daripada dua negeri dengan kerajaan pusat yang kukuh.
Sebaliknya, pihak Cyprus Turkiye mutakhir ini menegaskan penyelesaian dua negara, dengan kedua-duanya boleh bekerjasama dalam sebuah konfederasi longgar. - ©BERNAMA