Rui Jie tebus kekecewaan SUKMA 2024, rangkul emas di Selangor

19 Og 2026 - 11:02am

KUALA LUMPUR, 19 Ogos. - Pengorbanan bangun seawal 5.30 pagi setiap hari akhirnya membuahkan hasil buat atlet terjun Wilayah Persekutuan Yong Rui Jie apabila merangkul pingat emas acara 3 meter (m) papan anjal lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, hari ini.

Beraksi di Pusat Akuatik Selangor, Rui Jie mempamerkan aksi konsisten untuk mengumpul 391.85 mata, sekali gus menewaskan juara bertahan Elvis Priestly dan menghadiahkan pingat emas pertama acara terjun buat kontinjen Kuala Lumpur pada penampilan terakhirnya pada pentas SUKMA.

Kemenangan itu cukup bermakna buat Rui Jie selepas kekecewaan pada edisi SUKMA Sarawak 2024 apabila sekadar meraih pingat perak.

Beliau berkata kejayaan itu menjadi penghargaan tertinggi buat dirinya selepas melalui rutin latihan yang mencabar dan memenatkan setiap hari.

“Setiap hari saya bangun 5.30 pagi untuk latihan, masuk air sejuk dan kemudian pergi kelas. Selepas kelas, saya kembali berlatih. Jadi, kalau tak menang pingat ini, pasti kecewa … ,” katanya kepada pemberita selepas acara berkenaan di sini hari ini.

Beliau turut mendedikasikan kejayaan itu kepada keluarga dan barisan kejurulatihan yang menjadi tulang belakang di sebalik peningkatan prestasinya.

Selain disiplin, Rui Jie menyifatkan kejayaan itu turut dipengaruhi faktor lokasi pertandingan di Shah Alam yang dianggap seperti ‘rumah’ kedua kerana beliau berlatih di situ sejak sedekad lepas.

Bagaimanapun, lokasi tersebut turut menyimpan satu memori ngeri yang sukar dilupakannya apabila mengalami kecederaan sehingga dikejarkan ke hospital.

Mengulas perancangan masa depan, beliau kini mahu memberi fokus sepenuhnya pada peringkat senior, dengan kejayaan hari ini menjadi pembakar semangat sebelum membawa cabaran negara ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Dalam acara itu, pingat perak menjadi milik atlet tuan rumah Muhammad Haris Mohd Rezal dengan 387.45 mata, manakala Elvis Priestly yang mewakili Sarawak sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa selepas mengumpul 368.30 mata. - ©BERNAMA