PERTH, 28 Julai. - Asia perlu mengukuhkan kerjasama dalam meningkatkan kapasiti pengeluaran hijau serta memperluas bekalan produk dan perkhidmatan hijau.
Setiausaha Agung Forum Asia Boao (BFA) Zhang Jun berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Perth BFA yang berlangsung di Australia pada Isnin.
Zhang berkata Asia kini berada di barisan hadapan dalam memacu transformasi hijau.
Menurut beliau, semua pihak perlu menumpukan kepada kerjasama yang berorientasikan tindakan dan menterjemahkan konsensus yang dicapai kepada langkah-langkah konkrit.
Persidangan bertemakan "Peralihan Hijau: Menuju Masa Depan demi Manusia dan Bumi" itu menghimpunkan wakil-wakil untuk membincangkan pelbagai topik, termasuk peralihan tenaga, perubahan iklim serta pendekatan pembangunan yang bersesuaian dengan keadaan sebenar rantau Asia Pasifik.
Sementara itu, Utusan Khas China bagi Hal Ehwal Perubahan Iklim Liu Zhenmin berkata produk tenaga angin dan fotovolta (PV) yang dieksport negara itu membantu mengurangkan kira-kira 4.1 bilion tan pelepasan karbon di negara-negara lain dalam tempoh 2021 hingga 2025.
Menurut Rancangan Lima Tahun (FYP) Ke-15, Republik Rakyat China akan memastikan matlamat mencapai puncak pelepasan karbon direalisasikan menjelang 2030, di samping membangunkan sistem tenaga baharu yang bersih, rendah karbon, selamat dan cekap, dengan intensiti pelepasan karbon dikurangkan sebanyak 17 peratus. - ©BERNAMA