REPUBLIK SINGAPURA, 25 Sept. - Sekurang-kurangnya S$8.8 juta (RM28.07 juta) kerugian direkodkan akibat penipuan membabitkan penyamaran sebagai pegawai imigresen Republik Singapura dan perkhidmatan permohonan Penduduk Tetap (PR) palsu sejak Januari tahun ini, menurut pihak berkuasa.
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) memaklumkan sebanyak 148 laporan diterima setakat ini.
ICA memaklumkan pihaknya menyedari terdapat entiti komersial atau perunding yang mendakwa mereka mampu meningkatkan peluang pemohon untuk mendapatkan kemudahan imigresen jangka panjang, termasuk status PR Republik Singapura.
"ICA tidak menyokong atau memperakui perkhidmatan sedemikian.
"Orang ramai yang memohon kemudahan imigresen amat digalakkan mengemukakan permohonan secara terus kepada ICA menerusi laman sesawang ICA," menurut nasihat bersama ICA dan Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Jumaat.
Nasihat itu dikeluarkan susulan laporan media baru-baru ini mengenai seorang wanita Malaysia berusia 62 tahun yang kerugian RM762,700 (S$238,500) akibat ditipu ketika mendapatkan bantuan bagi permohonan PR Republik Singapura.
ICA memaklumkan orang ramai mungkin menemui iklan di platform media sosial yang menawarkan perkhidmatan permohonan PR dan mendakwa dapat membantu pemohon memperoleh status PR Republik Singapura.
Selepas mengklik iklan berkenaan, mangsa akan dibawa ke laman sesawang agensi perunding palsu dan diminta menyerahkan butiran peribadi termasuk nombor telefon bimbit menerusi borang dalam talian.
"Penipu kemudian akan menghubungi mangsa dan memperdaya mereka supaya membayar fi antara S$200 hingga kira-kira S$90,000 untuk meneruskan permohonan PR dengan alasan dapat meningkatkan peluang permohonan diluluskan menerusi pelaburan dalam syarikat, pembelian sijil akademik dan sumbangan.
"Mangsa kemudian diarahkan membuat pindahan wang melalui bank atau menyerahkan wang tunai kepada individu yang tidak dikenali," menurut nasihat itu.
Menurut ICA, mangsa hanya menyedari mereka ditipu apabila menghubungi pihak berkuasa itu untuk mengesahkan kesahihan surat Kelulusan Secara Prinsip (IPA) palsu yang menggunakan kepala surat ICA. - ©BERNAMA