CHIBA (JEPUN), 25 Sept. - Lebih 10,000 rumah di wilayah Chiba yang bersempadan dengan Tokyo masih terputus bekalan elektrik pada Jumaat selepas Taufan Dujuan membawa hujan lebat ke timur Jepun awal minggu ini, lapor Kyodo News.
TEPCO Power Grid Inc. memberi amaran gangguan bekalan elektrik mungkin berlanjutan kerana banyak jalan terhalang akibat tanah runtuh dan pokok tumbang, hingga menyukarkan pasukan teknikal memeriksa kemudahan yang rosak di sesetengah lokasi.
Puluhan rumah di wilayah Kanagawa turut terputus bekalan elektrik pada Jumaat, menurut syarikat utiliti itu.
Di Chiba, kira-kira 2,700 isi rumah masih tidak mempunyai bekalan air paip setakat tengah hari Khamis, menurut pihak berkuasa wilayah.
Shoji Sakuma, 63, yang mengusahakan perniagaan sendiri di Ichihara, berkata rumahnya terputus bekalan elektrik sejak petang Isnin.
Panel solar di rumahnya membekalkan sedikit tenaga, namun tidak mencukupi.
"Cuaca panas dan saya tidak dapat menggunakan penghawa dingin, jadi saya bercadang tidur di dalam kereta," katanya.
Rumahnya turut terputus bekalan air dan masih belum diketahui bila kedua-dua perkhidmatan itu akan pulih.
Taufan itu mengorbankan 11 orang, masing-masing tujuh di Chiba dan empat di Kanagawa, manakala tiga lagi masih hilang. - ©BERNAMA