Pawagam berusia di Republik Kesatuan Myanmar dibuka semula sebagai teater antarabangsa

28 Jul 2026 - 1:56pm

YANGON, 28 Julai. - Panggung Wayang Wazira yang berusia lebih seabad di Republik Kesatuan Myanmar secara rasmi dibuka semula sebagai teater karpet merah bertaraf antarabangsa di Yangon selepas menjalani pengubahsuaian besar-besaran bagi memelihara warisan budaya dan seni binanya, lapor Xinhua yang memetik akhbar milik kerajaan, The Global New Light of Myanmar, pada Selasa.

Majlis pembukaan semula mercu tanda berusia 103 tahun yang terletak di perbandaran Kyauktada, Yangon itu dihadiri Presiden Republik Kesatuan Myanmar, U Min Aung Hlaing, menteri Kesatuan, pegawai kerajaan, atase kebudayaan dari kedutaan asing, wakil pertubuhan tempatan dan antarabangsa serta penggiat seni, menurut laporan itu.

Bangunan berkenaan pada asalnya dibina pada 1923 sebagai Excelsior Theatre oleh Madan Theatre Company. Ketika pendudukan Jepun, namanya ditukar kepada Yangon Cinema.

Selepas Perang Dunia Kedua, ia dikenali sebagai A-1 Cinema sebelum secara rasmi dinamakan Panggung Wayang Wazira pada 1969.

Nama "Wazira" berasal daripada perkataan Pali "Vajira", yang membawa maksud sesuatu yang amat berharga dan kukuh seperti berlian. Teater itu terkenal dengan seni bina Beaux-Arts, yang menampilkan tiang Ionic yang megah, hiasan terperinci serta reka bentuk elegan berinspirasikan Eropah, menurut laporan itu

Berucap pada majlis yang sama, Presiden U Min Aung Hlaing berkata teater yang dinaik taraf itu akan berfungsi sebagai pusat kebudayaan negara bagi mempersembahkan seni tradisional Republik Kesatuan Myanmar, filem, teater, muzik dan pelbagai persembahan lain kepada penonton tempatan serta pelawat antarabangsa.

Teater yang dinaik taraf itu menggabungkan seni bina bersejarah dengan kemudahan moden, termasuk kerusi pawagam baharu, skrin paparan LED dan teknologi bunyi canggih. Ia dijangka menjadi lokasi penganjuran festival filem, persembahan tradisional, pameran warisan serta pelbagai acara kebudayaan lain, menurut laporan itu. - ©BERNAMA