BEIJING, 19 Ogos. - Kereta api milik negara Republik Rakyat China mengendalikan sebanyak 2.35 bilion tan kargo dalam tempoh tujuh bulan pertama 2026, meningkat 0.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, sekali gus memberikan sokongan yang boleh dipercayai dalam mengurangkan kos logistik dan memastikan operasi ekonomi yang stabil, menurut pengendali kereta api pada Rabu.
Menurut China State Railway Group Co., Ltd., purata muatan kargo harian mencapai 187,000 gerabak, meningkat 2.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Sektor kereta api memberi keutamaan kepada pengangkutan barangan utama yang penting kepada ekonomi negara dan kehidupan rakyat, bagi memastikan penghantaran yang pantas dan cekap. Dalam tempoh Januari hingga Julai, sebanyak 1.22 bilion tan arang batu telah dihantar, termasuk 813 juta tan arang batu terma.
Pengendali berkenaan menyesuaikan penyelesaian logistik untuk perusahaan utama dalam sektor bijirin, bahan kimia dan tekstil. Hasilnya, pengangkutan bijirin meningkat 7.4 peratus, bahan kimia 5.4 peratus dan tekstil 21.4 peratus tahun ke tahun.
Sementara itu, sektor kereta api memperdalam usaha pembaharuan dan inovasi bagi membangunkan pengangkutan multimodal. Sebanyak 165 produk pengangkutan antara ‘rail-water intermodal’ menggunakan ‘single-document’ telah diperkenalkan, dengan tempahan mencecah 71,600 TEU, sekali gus meningkatkan jumlah pengangkutan kereta api-air menggunakan kontena sebanyak 9.2 peratus.
Jumlah pengangkutan antara Rail-road intermodal melonjak 80.9 peratus kepada 294 juta tan, disokong oleh pembangunan laluan kereta api-jalan raya berkualiti tinggi.
Bekerjasama dengan All China Federation of Supply and Marketing Cooperatives, kumpulan berkenaan memperkenalkan model pengangkutan kapas secara konsolidasi dan mengendalikan 96 kereta api khas untuk kapas dari Xinjiang dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.
Langkah itu menyumbang kepada peningkatan jumlah pengangkutan kapas sebanyak 157.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Dari Januari hingga Julai, kereta api kargo China-Eropah melakukan 12,988 perjalanan, meningkat 17.6 peratus, manakala kereta api kargo China-Asia Tengah mencapai 8,582 perjalanan, meningkat 0.7 peratus. - ©XINHUA