Kajian baharu Australia tumpu makanan diproses, air bergula

19 Og 2026 - 11:04am

CANBERRA, 19 Ogos. - Sebuah program penyelidikan baharu akan meneliti dasar yang bertujuan mengurangkan penggunaan makanan diproses ultra dan minuman bergula oleh rakyat Australia susulan obesiti dan penyakit kronik berkaitan diet memberikan tekanan yang semakin meningkat terhadap sistem kesihatan, lapor Xinhua.

Program lima tahun itu, yang dibiayai Geran Penyiasat Majlis Penyelidikan Kesihatan dan Perubatan Kebangsaan, akan menjana bukti untuk memaklumkan keputusan dasar yang berkaitan dengan ketersediaan dan pemasaran meluas makanan dan minuman sedemikian, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu oleh Institut Penyelidikan Kesihatan dan Perubatan Australia Selatan.

Dua daripada tiga orang dewasa Australia hidup dengan berat badan berlebihan atau obesiti, manakala makanan diproses ultra dan minuman bergula menyumbang 42 peratus daripada diet orang Australia, menurut kenyataan itu.

"Kebanyakan produk ini direka, dipasarkan dan dibungkus dengan cara yang menggalakkan penggunaan berlebihan," kata Profesor Caroline Miller, pengarah pusat dasar kesihatan institut penyelidikan tersebut.

Beliau berkata persekitaran makanan semasa membuatkan pilihan termaklum menjadi sukar, menekankan keperluan untuk dasar yang menyokong pilihan lebih sihat.

Tumpuan utama penyelidikan adalah menilai keberkesanan label amaran hadapan dalam mengurangkan penggunaan produk tinggi gula. Label sedemikian boleh membantu orang ramai "memahami dengan lebih baik apa yang mereka makan dan mendorong pilihan yang lebih sihat," kata Miller.

Program itu juga akan menyediakan data terkini mengenai corak penggunaan dan pandangan orang ramai Australia mengenai kemungkinan tindak balas dasar, termasuk pelabelan, peraturan dan campur tangan lain, kata para penyelidik.

Mereka menambah akan bekerjasama rapat dengan penggubal dasar untuk memastikan penemuan itu diterjemahkan ke dalam cadangan praktikal berasaskan bukti. -  ©BERNAMA