Ceuta perketat langkah kesihatan awam susulan kemasukan migran beramai-ramai

16 Og 2026 - 10:24am

CEUTA, Sepanyol, 15 Ogos. - Pihak berkuasa di Ceuta, wilayah enklaf Sepanyol di Afrika Utara, melaksanakan pelan sembilan perkara bagi memperkukuh kawalan kesihatan awam dan alam sekitar susulan kemasukan migran secara beramai-ramai baru-baru ini.

Menurut pihak berkuasa tempatan pada Sabtu, pelan berkenaan merangkumi peningkatan pemantauan tuberkulosis, peluasan pemantauan terhadap air minuman dan perairan pantai, selain mempergiat kerja-kerja pembersihan, pembasmian kuman dan pengurusan sisa.

Lebih 100 pekerja tambahan turut dikerahkan bagi melaksanakan tugas sanitasi serta kawalan alam sekitar.

Menteri Kesihatan Sepanyol, Monica Garcia, dijadualkan mengunjungi Ceuta pada Ahad bagi menilai kesan kemasukan migran terhadap perkhidmatan kesihatan tempatan. Dalam lawatan berkenaan, beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan pegawai kerajaan tempatan dan pusat, wakil perubatan serta pertubuhan sosial, selain mengunjungi sebuah pusat kesihatan dan Hospital Universiti Ceuta.

Menurut kerajaan Sepanyol, lebih 72,000 migran memasuki Ceuta secara tidak teratur dari negara jiran, Maghribi, pada 30 dan 31 Julai. Kebanyakan mereka kemudiannya kembali ke Maghribi, manakala ribuan lagi masih berada di enklaf berkenaan.

Kawalan keselamatan turut dipertingkatkan di sepanjang sempadan menjelang Sabtu selepas seruan untuk satu lagi kemasukan beramai-ramai tersebar di media sosial.

Pasukan keselamatan Maghribi memintas ratusan migran yang cuba menuju ke kawasan sempadan, manakala Ceuta tidak melaporkan kemasukan migran pada skala seperti yang berlaku pada penghujung Julai. - ©XINHUA