WASHINGTON, 28 Julai. - Angka korban insiden tembakan di Seattle, Washington meningkat kepada tiga orang, manakala empat lagi cedera termasuk seorang kanak-kanak, kata Penolong Ketua Polis Seattle Tyrone Davis, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Akhbar Seattle Times sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya dua orang maut dan lima lagi cedera dalam kejadian tembakan di sebuah pusat kebudayaan dan hiburan di Seattle pada petang Ahad.
"Seorang daripada mangsa... meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang terkorban kini seramai tiga orang daripada tujuh mangsa," kata Davis pada satu taklimat media pada lewat Ahad, sambil menambah seorang daripada empat mangsa yang dibawa ke hospital merupakan seorang kanak-kanak.
Beliau berkata kesemua mangsa yang dirawat di hospital kini berada dalam keadaan stabil.
Setakat taklimat itu dijalankan, seorang suspek yang digambarkan Davis sebagai "berusia muda" telah ditahan, manakala seorang lagi masih bebas. Pihak polis percaya berlaku insiden berbalas tembakan antara dua individu, namun tidak menolak kemungkinan "mungkin ada lebih ramai lagi yang terlibat," katanya.
Pegawai polis menemui dua pucuk senjata api di lokasi kejadian, kata Davis sambil mengesahkan siasatan masih diteruskan. - ©BERNAMA