7 maut dalam kebakaran hotel di West Bengal, Republik India

17 Og 2026 - 10:33am

NEW DELHI, 17 Ogos. - Sekurang-kurangnya tujuh orang maut manakala beberapa yang lain cedera dalam kebakaran besar di sebuah hotel di negeri West Bengal, timur Republik India pada Isnin, menurut polis, lapor Xinhua.

Kebakaran berlaku pada awal pagi di tingkat bawah sebuah hotel empat tingkat di bandar Tarapith, daerah Birbhum, kira-kira 220 kilometer ke utara Kolkata, ibu negeri West Bengal.

"Mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas selepas terhidu asap toksik daripada siling, gentian kaca dan bahan mudah terbakar lain yang terbakar di ruang penerimaan tetamu di tingkat bawah," kata seorang pegawai polis.

Menurut laporan, kebanyakan tetamu sedang tidur ketika kebakaran berlaku.

Polis memaklumkan mereka yang terjaga selepas kebakaran berlaku dilaporkan berada dalam keadaan keliru dan menghadapi kesukaran mencari laluan keluar.

Sejurus menerima panggilan kecemasan, polis dan anggota bomba bergegas ke lokasi untuk mengawal kebakaran serta menyelamatkan mereka yang terperangkap di dalam hotel berkenaan.

Pegawai berkata beberapa mangsa yang maut merupakan penziarah yang berkunjung ke Tarapith untuk bersembahyang di kuil Hindu di bandar itu.

Punca kebakaran yang merebak dengan pantas ke tingkat atas masih dalam siasatan. Beberapa laporan menunjukkan  kebakaran itu berpunca daripada litar pintas.

Polis telah membuka kertas siasatan dan mengarahkan siasatan dijalankan berhubung kejadian itu. - ©BERNAMA