Kontinjen NBD ke Sukan Asia Ke-20 selamat pulang ke tanah air

27 Sep 2026 - 3:25am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

BERAKAS, Sabtu, 26 September. -  Kontinjen Negara Brunei Darussalam (NBD) yang terdiri daripada Chef de Mission, pegawai urus setia dan pasukan wusyu kembali ke tanah air semalam selepas menyertai temasya Sukan Asia Ke-20 yang berlangsung di Aichi-Nagoya, Jepun. 

Hadir di Ruang Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi menyambut kepulangan kontinjen negara ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.

Sebagai tanda penghargaan atas pencapaian yang diraih, beliau mengalungkan sesandang kepada ahli kontinjen serta menyampaikan ucapan tahniah atas pencapaian yang diraih.

Selain itu, beliau turut menyampaikan kata-kata motivasi kepada para atlet agar terus berusaha dengan lebih gigih, mengekalkan disiplin serta semangat kesukanan yang tinggi dalam usaha mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. 

Turut hadir, Pengarah Beliadan Sukan, Dayang Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim serta pegawai-pegawai kanan Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. 

Pada temasya sukan tersebut, atlet wusyu negara, Dayang Basma Lachkar, berjaya menyumbangkan satu pingat gangsa menerusi acara Combined Event Taijiquan dan Taijijian yang berlangsung di Aichi Prefectural Martial Arts Hall. 

Kejayaan tersebut sekali gus mengukuhkan prestasi konsisten yang dipamerkan oleh Dayang Basma Lachkar di pentas antarabangsa, khususnya dalam penyertaan beliau pada edisi Sukan Asia kali ini.

Pencapaian berkenaan mencerminkan komitmen dan dedikasi atlet negara dalam mengharumkan nama NBD di arena sukan serantau dan antarabangsa.