Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 14 September. - Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan melalui Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang, Bandar Seri Begawan dan Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang, Cawangan Kuala Belait telah melaksanakan dua operasi penguatkuasaan undang-undang di bawah Operasi Kakas 2026, baru-baru ini.
Operasi Kakas 96/2026 menyasarkan ke lima lokasi berasingan di sekitar Mukim Liang dan hasil daripada operasi tersebut, 20 warganegara asing dan seorang Penduduk Tetap Negara Brunei Darussalam telah diperiksa.
Seorang daripada yang diperiksa telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang, Cawangan Kuala Belait bagi siasatan lanjut kerana gagal untuk mengemukakan dokumen yang sah sepertimana yang diperuntukkan di bawah Bab 55(4)(a)(b)(c), Akta Imigresen, Penggal 17 dan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu tidak bekerja dengan majikan asal.
Sementara, Operasi Kakas 100/2026 menyasarkan ke premis perniagaan kecantikan dan kesihatan di Mukim Gadong dan hasil daripada operasi tersebut, tiga orang warganegara asing telah diperiksa dan seorang daripadanya telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang, Bandar Seri Begawan bagi siasatan lanjut kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 9(4), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja menggunakan pas lawatan.