Oleh : Muhammad Khairulanwar Ali Rahman
Foto : Ihsan Persatuan Bola Keranjang Brunei
GADONG, Ahad, 22 November. - Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman berkenan berangkat mengurniakan hadiah bagi pemenang-pemenang Kejohanan Bola Keranjang AEWON PPE Antara Sekolah-sekolah, 2026, petang tadi.
Perlawanan yang berlangsung di Gelanggang Bola Keranjang Persatuan Bola Keranjang Brunei (BBA) itu menyaksikan penyertaan cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah yang mewakili Pasukan Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB).
Dalam kejohanan tersebut, bagi Kategori Perempuan, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) menduduki tempat pertama, sementara Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (MSPSBS) di tempat kedua dan ISB di tempat ketiga.
Bagi Kategori Lelaki, Pasukan JIS di tempat pertama, manakala di tempat kedua disandang oleh Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan dan tempat ketiga diraih oleh Sekolah Menengah Chung Hwa Kuala Belait.
Dianjurkan oleh BBA, kejohanan turut disokong oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan.