UNISSA perkukuh sokongan kepakaran dalam industri halal

11 Og 2026 - 8:58am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Peranan Pusat Penyelidikan Halalan Tayibban (PPHT), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) sememangnya boleh terus dipertingkatkan lagi bagi membantu pihak industri memastikan proses pengeluaran makanan termasuk penyembelihan, memenuhi keperluan halal dan hukum syarak.

 

Dalam hubungan ini, kerjasama antara Kementerian Hal Ehwal Ugama dan UNISSA telah pun dilaksanakan melalui memorandum persefahaman yang dimeterai pada 2 Februari 2023.

 

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh semasa menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Kali Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

 

Yang Berhormat Menteri Pendidikan seterusnya menerangkan, bahawa menerusi Projek Rakan Penyelia Halal yang memberi peluang kepada pelajar UNISSA menjalani latihan industri sebagai penyelia halal dalam latihan premis-premis industri halal di bawah pemantauan Bahagian Kawalan Makanan Halal.

 

PPHT ujar Yang Berhormat lagi, boleh menyumbang melalui kepakarannya dalam penyelidikan dan ‘scientific analysis’ termasuk pengesahan bahan mentah, kaedah pelalian dan penyembelihan halal serta kajian berkaitan sistem jaminan halal, keselamatan makanan dan teknologi halal bagi memenuhi keperluan pihak berkuasa dan industri.

 

Bagi proses pensijilan halal pula, UNISSA tidak mempunyai bidang kuasa untuk meluluskan sijil dan permit halal. Namun, UNISSA boleh membantu pengusaha sebelum permohonan rasmi dikemukakan.

 

 

Antaranya melalui kursus dan latihan berkaitan halal, khidmat nasihat, semakan kesiapsiagaan dokumentasi dan pematuhan serta pembangunan sistem jaminan halal. Langkah ini dapat membantu pengusaha membuat persediaan yang lebih baik dan mengurangkan kekurangan dalam permohonan yang dikemukakan. Walau bagaimanapun, fungsi pemeriksaan pengawalseliaan, penguatkuasaan serta kelulusan sijil dan permit halal kekal di bawah pihak berkuasa yang ditetapkan sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

 

Dengan pembahagian peranan ini, kepakaran UNISSA dapat dimanfaatkan untuk menyokong proses pensijilan halal tanpa mengambil alih fungsi pengawalseliaan.