Oleh : Marlinawaty HussinFoto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 dihasratkan menjadi panduan utama dalam menyelaras dan menyejajarkan perancangan serta pelaksanaan keutamaan negara ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.
Kerangka pembangunan berkenaan hanya akan memberi nilai apabila dijadikan panduan dalam perancangan dan digunakan dalam pelaksanaan pembangunan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad menyatakan perkara tersebut semasa menyampaikan Kenyataan Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 : Memperkukuh Penyelarasan Ke Arah Pencapaian Wawasan Brunei 2035 pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Dalam menyokong Wawasan Brunei 2035, jelas Yang Berhormat, Manpower Blueprint, Social Blueprint dan Economic Blueprint berperanan sebagai instrumen sokongan, termasuk melalui penilaian berasaskan Petunjuk Prestasi Utama Tindakan atau Action KPIs.
Berpandukan ‘blueprint’ berkenaan, kata Yang Berhormat, setiap kementerian dan agensi akan terus menerajui pelaksanaan dasar, strategi, pelan tindakan dan inisiatif di bawah Jawatankuasa Kerja Manpower, Economic dan Social Wawasan Brunei 2035 masing-masing.
Yang Berhormat berkata, pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation akan terus diperkukuh melalui kerjasama yang erat dan bersepadu. Usaha berkenaan perlu merentas seluruh kementerian, agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, peringkat akar umbi serta pihak berkepentingan yang lain dalam mendukung pencapaian Wawasan Brunei 2035.
Menurut Yang Berhormat, objektif utama Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 adalah menyediakan struktur yang lebih tersusun bagi menilai kemajuan pembangunan negara secara holistik dan bersepadu agar kemahuan mencapai Wawasan Brunei 2035 dapat dinilai secara lebih menyeluruh dan sistematik.
Yang Berhormat berkata, penilaian tersebut bukan sekadar bertujuan mengukur prestasi, malah menyediakan maklumat bagi membantu kerajaan memantau keberkesanan serta impak pelaksanaan dasar, strategi dan inisiatif demi kesejahteraan rakyat dan penduduk serta kemakmuran Negara Brunei Darussalam.
Dengan itu, tambah Yang Berhormat, sebarang penambahbaikan sama ada dari segi perancangan atau pelaksanaan yang berkait rapat dapat dikenal pasti agar pelaksanaannya terus responsif terhadap keperluan dan cabaran yang sentiasa berkembang.
Selain itu, kata Yang Berhormat, maklumat yang diperoleh melalui kerangka berkenaan turut menyokong proses perancangan dan membuat keputusan yang lebih berasaskan bukti bagi memperkukuh pelaksanaan Wawasan Brunei 2035. Dalam pada itu, kejayaan Wawasan Brunei 2035 tidak bergantung kepada kerangka kerja semata-mata.
Sebaliknya, tegas Yang Berhormat, ia memerlukan komitmen, kerjasama dan usaha berterusan daripada semua pihak menerusi pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation.
“InsyaaAllah, dengan komitmen, kerjasama dan usaha berterusan semua pihak, Negara Brunei Darussalam akan terus berupaya menghadapi cabaran, melalui pendekatan yang adaptif dan responsif kepada perubahan serta memanfaatkan peluang-peluang yang terhasil daripada perubahan,” terang Yang Berhormat.