Strategi TVET dipertingkat melalui kerjasama industri, perantisan

11 Og 2026 - 8:57am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Kementerian Pendidikan memberikan tumpuan kepada tiga perkara utama mengenai strategi Kementerian Pendidikan untuk memperkukuh TVET. 

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh menyatakan perkara tersebut semasa menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann, Ketua Kampung Bukit Sawat pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Kali Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini. 

“Pertama, memastikan program TVET selaras dengan keperluan industri. Program TVET dibangunkan dan dikemas kini berdasarkan data pasaran kerja, unjuran keperluan tenaga kerja serta maklum balas industri melalui Manpower Industry Steering Committee atau MISC. Pada masa ini, MISC memberikan tumpuan kepada enam sektor iaitu tenaga, pembinaan, pengangkutan dan logistik, hospitaliti dan pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT, serta pemakanan.

“Melalui kerjasama MISC, jenis dan jumlah pekerjaan yang diperlukan oleh industri serta pekerjaan kritikal telah dikenal pasti. Maklumat ini digunakan bagi membantu institusi pendidikan dan latihan menyelaraskan kandungan kurikulum, kompetensi yang diperlukan dan penawaran program dengan keperluan sebenar pasaran kerja,” ujar Yang Berhromat. 

Menurut Yang Berhormat Menteri Pendidikan, tahun ini, IBTE turut melaksanakan penstrukturan semula kurikulum dengan mengintegrasikan kemahiran digital, teknologi hijau dan Kecerdasan Buatan supaya graduan memiliki kemahiran yang relevan dengan keperluan pekerjaan semasa dan masa hadapan.

Kedua, memperluas pembelajaran berasaskan industri. Mekanisme ini dilakukan melalui program perantisan, penempatan industri dan pembelajaran berasaskan pekerjaan. Pendekatan ini memberikan pelajar pengalaman dalam persekitaran kerja yang sebenar, membolehkan mereka menguasai kompetensi yang diperlukan oleh industri serta membina hubungan dengan bakal majikan.

Yang Berhormat seterusnya mengongsikan bahawa sehingga September 2025, IBTE mempunyai 69 rakan industri, terdiri daripada 63 rakan tempatan dan enam rakan antarabangsa serta melibatkan 694 pelajar dalam program perantisan. 

Ketiga, mempergiat promosi dan pendedahan TVET dalam kalangan pelajar dan lepasan sekolah menengah. Ini dilakukan dengan memberikan maklumat yang lebih jelas mengenai prospek pekerjaan, perkembangan kerjaya dan peluang melanjutkan pengajian. Ini termasuklah penyertaan IBTE dalam Higher Education Expo anjuran Kementerian Pendidikan, di samping pelaksanaan program Hala Tuju Study at IBTE, Hari Terbuka IBTE dan sesi perkongsian bersama pihak industri. IBTE juga sedang membangunkan Career Hub dan perkhidmatan konsultasi kerjaya dalam talian bagi menyediakan maklumat mengenai dengan program, kemahiran, laluan kerjaya dan peluang pekerjaan. 

Pada masa yang sama terang Yang Berhormat, kualiti tenaga pengajar, kemudahan bengkel dan makmal serta infrastruktur digital, terus dipertingkatkan secara berperingkat bagi menyokong program yang mempunyai permintaan tinggi dan meningkatkan kapasiti pengambilan pelajar. Melalui pendekatan ini, kementerian berusaha meningkatkan minat belia terhadap TVET dan memastikan graduan memiliki kompetensi serta pengalaman yang diperlukan oleh majikan. 

Usaha ini kata Yang Berhormat, dihasrat agar dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan dan menyumbang kepada pengurangan kadar pengangguran belia.