Siaran Akhbar dan Foto : Biro Kawalan Narkotik
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 20 September. - Sekolah Rendah Pantai Berakas dan Sekolah Rendah Amar Pahlawan masing-masing dinobatkan sebagai johan Kategori Lelaki dan Kategori Perempuan pada Peringkat Akhir Kejohanan Senaman Sekolah-Sekolah Rendah Brunei Darussalam 2026 yang berlangsung pada 10 September 2026.
Pertandingan ini dianjurkan bersama oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan bersempena Sambutan Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram 2026.
Enam finalis, tiga bagi setiap kategori lelaki dan perempuan dipilih pada peringkat saringan Julai 2026 daripada penyertaan 22 buah sekolah rendah di seluruh negara.
Berikutan keadaan jerebu, penghakiman peringkat akhir dilaksanakan melalui penilaian rakaman video di Dewan Kenanga, Divisyen Pendidikan Pencegahan Dadah (DPPD), BKN, Kampung Kiarong demi keselamatan murid-murid.
Turut hadir menyaksikan sesi penghakiman tersebut ialah Penolong Pengarah Pendidikan Pencegahan Dadah, BKN, Dayang Hajah Pengiran Masnah binti Pengiran Haji Damit serta Ketua Bahagian Jasmani dan Rekreasi, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Pengiran Siti Amal Jariah binti Pengiran Haji Mat Jinen.
Bagi Kategori Lelaki, Sekolah Rendah Pantai Berakas muncul johan dengan 91 peratus, diikuti Sekolah Rendah Katok B (90 peratus) sebagai naib johan dan Sekolah Rendah Amar Pahlawan (77 peratus) di tempat ketiga.
Bagi Kategori Perempuan, Sekolah Rendah Amar Pahlawan dinobatkan johan dengan 94 peratus, diikuti Sekolah Rendah Perpindahan Kampong Bukit Beruang II (87 peratus) dan Sekolah Rendah Dato Haji Mohd. Yassin (82 peratus).
Johan setiap kategori menerima hadiah wang tunai BND600, naib johan BND500 dan tempat ketiga BND400.
Program ini bertujuan memupuk gaya hidup sihat dan membentuk sikap menolak pengaruh dadah dalam kalangan murid melalui penglibatan dalam aktiviti yang positif.