Siaran Akhbar dan Foto : Persatuan Kemajuan Insan
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 1 September. - Persatuan Kemajuan Insan (KESAN) telah menganjurkan Program Leadership : The Bigger Picture, sebuah program pembangunan kepimpinan belia yang bertujuan untuk memperluaskan kefahaman belia terhadap kepimpinan melalui pelbagai perspektif dan dimensi.
Sebanyak 30 peserta terdiri daripada golongan belia dari berbagai peringkat umur ikut serta dalam program tersebut berlangsung di Auditorium, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).
Program tersebut dirangka sebagai satu platform pembelajaran dan perkongsian yang menekankan bahawa kepimpinan bukan sekadar berkaitan dengan jawatan atau kedudukan, malah merupakan satu proses pembelajaran sepanjang hayat yang memerlukan seseorang untuk sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan serta terus berkembang selari dengan peredaran zaman.
Bertemakan ‘The Bigger Picture’, program ini membawa mesej bahawa kepimpinan perlu dilihat dari sudut yang lebih luas dan saling berkait antara satu sama lain. Melalui pendekatan ini, para peserta didedahkan kepada pelbagai perspektif kepimpinan bagi memperkaya serta memperluaskan kefahaman mengenai amalan kepimpinan yang efektif.
Program dimulakan dengan sesi forum yang dikelola oleh Setiausaha Agung Persatuan KESAN, Dayang Sarah Mutalif mengetengahkan kepimpinan daripada tiga perspektif utama, iaitu keagamaan, kesukanan dan keusahawanan daripada tiga penal jemputan iaitu Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahhuddin, Awang Adi Salihin bin Roslan dan Shaikh Fadilah Ahmad.
Sesi tersebut disusuli dengan Sesi Mentor Clinic, di mana para peserta berpeluang untuk berinteraksi dan berbincang dengan lebih dekat bersama mentor atau nara sumber di stesen pilihan masing-masing.
Perspektif pertama, Leading with Islamic Values yang dikendalikan oleh Pengiran Ahmad Faris Ramadhani, memberi penekanan terhadap nilai-nilai kepimpinan yang berteraskan ajaran Islam, termasuk nilai yang dicontohkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta prinsip Maqasid Syariah. Sesi ini turut mengetengahkan perubahan perspektif kepimpinan daripada kedudukan sebagai suatu bentuk ‘jawatan’ kepada ‘amanah’.
Perspektif kedua, Performance under Pressure bersama atlet wushu, Awang Adi Salihin bin Roslan memberi tumpuan kepada aspek persediaan, disiplin dan keupayaan untuk kekal tenang dalam situasi yang memberi tekanan, khususnya dalam membawa harapan serta mewakili negara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Sementara itu, perspektif ketiga, ‘Leading Through the Storm’ bersama Shaikh Fadilah Ahmad, Pengurus Dil’s Cafe mengetengahkan konsep ‘antifragility’ serta kepentingan keupayaan seseorang pemimpin untuk menghadapi keadaan yang tidak menentu, bangkit daripada cabaran, membuat penyesuaian dan mencari ruang untuk terus berkembang.
Presiden Persatuan KESAN, Awang Md. Haziq Hisyam Md. Zaki dalam ucapan alu-aluan, beliau turut menekankan bahawa kepimpinan bukan sekadar mengenai seseorang individu yang berada di hadapan, membuat keputusan atau memberikan arahan. Sebaliknya, kepimpinan turut tercermin melalui cara seseorang mempengaruhi orang lain, membuat keputusan ketika berdepan cabaran, mengurus tekanan serta memberi manfaat kepada masyarakat di sekeliling.
Penganjuran program ini juga mencerminkan komitmen KESAN dalam menyediakan ruang pembangunan kendiri dan kepimpinan kepada golongan belia. Ia bukan sekadar sebuah program kepimpinan, tetapi merupakan satu usaha ke arah pembentukan belia yang lebih matang, proaktif dan berkemahiran tinggi melalui pendekatan pembelajaran yang merangkumi aspek kerohanian, emosi, pemikiran kritikal dan tindakan.
KESAN berharap agar para belia tempatan dapat membina perspektif yang lebih luas dalam memahami peranan mereka sebagai pemimpin masa kini dan masa hadapan. Konsep The Bigger Picture juga diharap menjadi panduan kepada belia untuk terus bergerak seiring dengan arus kemajuan dunia tanpa mengabaikan jati diri, nilai-nilai teras serta pegangan kepada falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) dan ajaran agama Islam.
Persatuan KESAN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua terlibat, penaja program Beverages by Wafi, Gardenia dan Zalico serta pihak pengurusan UNISSA, ahli jawatankuasa, urus setia, tidak dilupakan kepada para peserta yang telah memberikan sokongan dan menjayakan Program Leadership : The Bigger Picture.