Program Kembara Ilmu : Memupuk kecintaan generasi muda terhadap masjid

11 Og 2026 - 7:03am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Ke arah membentuk generasi muda yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, malah memiliki akhlak mulia serta jati diri keislaman yang kukuh, terus menjadi keutamaan dalam usaha merealisasikan hasrat  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Sejajar dengan hasrat berkenaan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Sekolah Umum (Pendidikan Islam), Jabatan Pengajian Islam (JPI), hari ini menganjurkan Program Kembara Ilmu : Bilal dan Imam Cilik Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi, yang berlangsung di Masjid Omar 'Ali Saifuddien di ibu negara.

Program yang diadakan sempena cuti penggal persekolahan ketiga berkenaan menghimpunkan seramai 62 murid Tahun 3, Tahun 4 dan Tahun 5 daripada 17 buah sekolah rendah kerajaan dan 10 buah sekolah rendah swasta terpilih di seluruh negara.

Program berkenaan merupakan antara usaha memperkukuh Program Bilal dan Imam Cilik yang mula diperkenalkan pada 2025, khususnya dalam memberikan pendedahan dan pengalaman secara langsung kepada murid mengenai fungsi masjid serta tanggungjawab sebagai imam dan bilal.

Lebih daripada sekadar pembelajaran secara teori, para peserta berpeluang merasai sendiri pengalaman berada dalam suasana masjid melalui pelbagai aktiviti yang disusun sepanjang program.

Antara pengisian yang dilaksanakan termasuk penerangan mengenai tujuan dan peranan program, aktiviti briskwalk, lawatan di sekitar masjid, sesi bimbingan bersama imam dan bilal serta latihan dan tunjuk cara melaungkan azan dan memimpin solat berjemaah.

Pendekatan sedemikian bukan sahaja bertujuan meningkatkan kemahiran teknikal para peserta, malah menyemai keyakinan diri, disiplin dan nilai kepimpinan dalam diri mereka sejak usia muda.

Program berkenaan turut menjadi wadah untuk memupuk kecintaan generasi muda terhadap masjid serta menghayati kepentingannya sebagai pusat ibadah, pendidikan dan pembentukan sahsiah masyarakat Islam.

Melalui pengalaman yang diperoleh, para peserta diharap dapat memahami dengan lebih dekat amanah dan tanggungjawab seorang imam serta bilal, seterusnya mengembangkan kemahiran yang dipelajari untuk diamalkan dalam kehidupan seharian dan di sekolah masing-masing.

Usaha berkenaan secara tidak langsung membuka ruang kepada lahirnya generasi pelapis yang mampu menyumbang kepada pengimarahan masjid dan kesinambungan syiar Islam di negara ini.

Kembara Ilmu : Bilal dan Imam Cilik sekali gus mencerminkan pendekatan pendidikan Islam yang bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi turut memberikan pengalaman sebenar kepada murid agar nilai, kemahiran dan amalan yang dipelajari dapat terus sebati dalam kehidupan mereka.