PPDBM adakan Hari Keluarga

10 Og 2026 - 4:41am

Oleh : Siti Rokiah AbdullahFoto : Ihsan Persatuan Pengakap Daerah Brunei Muara

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 9 Ogos. - Persatuan Pengakap Daerah Brunei Muara (PPDBM) telah menganjurkan Hari Keluarga Persatuan Pengakap Daerah Brunei Muara 2026 yang berlangsung di Arena Puteri, Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI), Bandar Seri Begawan.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Timbalan Pengetua Pentadbiran, STPRI, Awang Md. Shah Rani bin Haji Mataha. Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Awang Haji Junaidi bin Haji Hussin.

Hari Keluarga tersebut merupakan salah satu inisiatif PPDBM dalam mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat kekeluargaan serta mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan warga PPDBM.

Pelbagai aktiviti menarik telah disediakan bagi memeriahkan lagi acara tersebut, antaranya Permainan Keluarga, Sukaneka, Jamuan dan Gerai Jualan, Cabutan Bertuah, serta Aktiviti Pengakap Seisi Keluarga.

Aktiviti-aktiviti yang diadakan turut melibatkan penyertaan daripada pelbagai peringkat umur, sekali gus memberikan peluang kepada ahli pengakap dan keluarga untuk meluangkan masa bersama dalam suasana yang santai, ceria dan penuh kemesraan.

Menurut Pesuruhjaya Pengakap Daerah Brunei Muara, Skip Haji Harzuna bin Haji Ismail, penganjuran Hari Keluarga berkenaan diharap dapat memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan ahli pengakap, di samping mewujudkan hubungan yang lebih erat antara keluarga-keluarga PPDBM.

Beliau turut menjelaskan bahawa selain sebagai wadah untuk mengeratkan ukhuwah, acara berkenaan juga menjadi ruang bagi warga pengakap berkongsi kegembiraan, mengeratkan persahabatan serta mencipta kenangan manis bersama keluarga dan sahabat pengakap.

Dengan membawakan tema ‘Bersama Keluarga, Memperkukuh Ukhuwah’, Hari Keluarga PPDBM 2026 mencerminkan komitmen PPDBM dalam memupuk nilai kekeluargaan, persahabatan dan semangat berpasukan selaras dengan prinsip serta nilai-nilai murni kepengakapan.